Pemimpin Pemuda Umno berkata percanggahan Umno-PAS hanya ketara apabila para pemimpin membuat kenyataan berbeza.
KUALA LUMPUR: Usaha muzakarah Umno – PAS perlu dimulakan dari peringkat kepimpinan parti tertinggi dan bukannya dari peringkat akar umbi.
“Kita sokong usaha muzakarah. Perbezaan Umno – PAS tidak ketara di peringkat bahagian dan kawasan. Ia hanya muncul sesekali ketika musim pemilihan.
“Kita nak penyatuan dari peringkat atasan,” kata Ketua Pemuda Umno bahagian Kepong, Abdul Razak Abdul Rahman yang ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Perhimpunan Agung Umno hari ini.
“Perpecahan hanya nampak ketara apabila pucuk pimpinan membuat kenyataan yang berbeza,” tambahnya.
Perbincangan berkaitan muzakarah Umno-PAS timbul apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan bermuzakarah dengan Umno demi Islam.
Hadi berkata demikian semasa sesi muktamar PAS ke – 59 di Shah Alam pada 24 November lalu.
Najib jumpa Ahmad
Empat hari kemudian, perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencuri tumpuan apabila beliau berjumpa Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Perjumpaan itu antara lain turut membincangkan isu pembangunan negeri Kelantan.
Rata-rata pemimpin kanan Umno seperti Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut sepakat untuk meneruskan agenda muzakarah.
Sementara itu, Naib Ketua Puteri Umno bahagian Jerantut Faezah Ishak turut bersetuju dengan usaha muzakarah.
“Lebih baik para pemimpin bersua muka dan berbicara daripada seorang bercakap di satu tempat dan dibalas dengan pemimpin parti lagi satu dari tempat lain,” katanya.
Faezah turut memberitahu FMT bahawa Umno di kawasannya tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan PAS Jerantut.
Isu muzakarah Umno – PAS ini bagaimanapun tidak mempunyai kesan di Sabah dan ini diakui oleh beberapa ahli Puteri Umno Kimanis kerana PAS belum bertapak secara kukuh di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan