Ipoh – “Secara peribadi saya kurang bersetuju beliau terlibat secara keseluruhan dalam parti,” luah Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias berhubung pelantikan adiknya, Mohammad Kazim sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Mohd Najmuddin berkata, sebagai ahli keluarga, beliau melihat situasi pelantikan itu hanya akan menguntungkan sebelah pihak berbanding tugas pendakwah bebas yang boleh menyebar ilmu kepada kerajaan mahupun pembangkang.
Menurutnya, sekiranya benar perdana menteri mahu menempatkan Ustaz Kazim dalam kerajaan, satu jawatan yang lebih sesuai boleh diberikan agar tugas sebagai pendakwah masih boleh dijalankan tanpa perlu ada ‘double standard’.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan, penerimaan jawatan itu kelak akan mengganggu perjalanan Pusat Pendidikan Al-Barakah yang selama ini di bawah tanggungjawab Ustaz Kazim.
“Buat masa ini, saya tidak mendapat penjelasan dari mana-mana pihak mengenai perkara ini. Saya juga tidak tahu di sebalik perlantikan tersebut.
“Sebagai abang saya tidak bersetuju, kecuali perdana menteri menyediakan satu jawatan yang lebih sesuai agar dia boleh terus berdakwah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Beliau yang juga Pegawai Penerangan Agama Pejabat Menteri Besar Perak memaklumkan akan mengadakan satu sidang media khas bersama seorang lagi adiknya yang juga Adun Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah setelah mendapat penjelasan daripada Ibu Pejabat Umno mengenai pelantikan itu.
Mengulas mengenai keahlian Pas, Mohd Najmuddin tidak menafikan Ustaz Kazim pernah menjadi ahli parti itu 15 tahun lepas, bagaimanapun sudah mengisytiharkan diri keluar parti.
“Setahu saya memang (Ustaz) Kazim pernah jadi ahli Pas, tapi dah lama keluar dan sejak itu dia jadi pendakwah bebas,” katanya. -SH
Umno guna ustaz sebagai ayam sabung lawan PAS
KEPALA BATAS: Perlantikan individu berlatarbelakangkan agama ke dalam Umno bukan bertujuan sebagai penegur atau pemandu perjalan parti Melayu itu tetapi dilihat lebih kepada sebagai 'ayam sabung' untuk melawan PAS.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad berkata sejarah membuktikan betapa teguran, pandangan dan suara ahli agama terhadap Umno tidak menjadi keutamaan oleh parti itu malah hanya dipandang sepi.
"Umno bukan impikan orang beragama. Mereka hanya memperkudakan golongan terbabit untuk berhadapan dengan hujah PAS semata-mata. Lepas tu dibuang bagaikan sampah," katanya ketika berceramah di Markaz PAS Pongsu Seribu, di sini semalam.
Ceramah semalam diadakan sempena kemenangan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Limau yang turut dihadiri Adun baru SUngai Limau Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Terdahulu beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut mengulas perlantikan pendakwah terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam.
Katanya, perkara itu bukan sesuatu yang pelik malah sudah dijangka kerana Ustaz Kazim dalam ceramahnya sebelum ini banyak kali tampil dipentas ceramah anjuran Umno dan mengkritik PAS secara terbuka.
"Sudah terang lagi bersuluh apa yang Ustaz Kazim buat. Kita tidak payah bersusah meneka siapa dirinya, " katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, kemasukan Ustaz Kazim ke dalam Umno itu langsung tidak memberi kesan kepada PAS sebaliknya lebih menyenangkan PAS untuk meneruskan siri dakwahnya kepada Ummah tanpa diganggu oleh 'individu yang mengakui PAS'.
Menurut beliau lagi, hakikatnya individu berlatarbelakang agama apabila menyertai Umno akan hilang serinya dan akan tenggelam dibawa arus. -HD

Tiada ulasan:
Catat Ulasan