HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Disember 2013

Petronas bayar mahal rezab gas syarikat Kanada

 














HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Tindakan Petronas membeli rezab gas syarikat Kanada, Progress Energy pada harga yang terlalu tinggi berbanding nilaian semasa pasaran perlu mendapat penjelasan daripada pengurusan syarikat minyak negara itu dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, tegas Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.

“Saya telah ajukan analisa kos setiap tong rezab gas yang dibeli pada harga US$16.42 setong sedangkan pembelian PETRONAS yang lain pada masa yang sama hanyalah US$7.46 setong.

 “Ia memberi gambaran bahawa PETRONAS membayar dua kali lebih mahal harga rezab gas batuan di Canada berbanding dengan harga rezab minyak mentah di Brazil yang dibelinya sekitar tempoh yang sama,” ujarnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Menurut Rafizi, Bloomberg  pada 27 Julai 2012 melaporkan bahawa PETRONAS menawarkan untuk membeli saham-saham Progress Energy pada harga C$22 sesaham, iaitu 90% lebih mahal dari harga terakhir semasa saham-saham itu diniagakan di pasaran saham.

“Alasan yang diberikan untuk menambah tawaran harga pembelian ialah kononnya kerana ada satu lagi tawaran yang lebih tinggi dibuat oleh sebuah syarikat.

“Identiti syarikat ini adalah rahsia dan sehingga kini menjadi tanda tanya syarikat mana yang menyebabkan PETRONAS menaikkan tawaran sehingga membayar satu kali ganda lebih mahal berbanding nilaian pasaran,” ujarnya.

Menurut Rafizi, harga saham Progress Energy kekal stabil di sekitar C$11 dari tahun 2008 dan hanya melonjak naik satu kali ganda setelah PETRONAS mengumumkan akan membayar harga yang begitu tinggi.

Bekas pengurus kanan PETRONAS itu mengingatkan bahawa nilaian semasa harga saham adalah berkait dengan nilai rezab yang dipegang.

“Pada ketika harga gas melonjak tinggi sekitar tahun 2008 – 2010, harga saham Progress Energy tidak berubah menunjukkan nilaian C$11 satu saham itu adalah harga yang dterimapakai oleh pasaran dan industri.

“Sebab itu saya mempersoalkan kenapa PETRONAS membayar sehingga 90% lebih mahal bagi saham-saham (bila diterjemahkan kepada harga setong rezab gas batuan, harga itu lebih dari satu kali ganda dari pembelian semasa yang lain) Progress Energy sedangkan harga gas di Amerika Utara jatuh menjunam?” soal beliau.

Menurut Rafizi, alasan bahawa wujud satu syarikat misteri yang bersaing dengan PETRONAS untuk membeli Progress Energy meragukan, apatah lagi apabila syarikat-syarikat besar dunia seperti Shell telah menarik diri dari membida kerana harga yang ditawarkan oleh syarikat besar dunia ini dilaporkan terlalu rendah berbanding tawaran harga PETRONAS.

“Perkara-perkara ini menunjukkan ada yang tidak telus dalam urusan pembelian tersebut.

“Saya akan menulis kepada Tun Dr Mahathir dan Dato’ Kadir Jasin satu laporan lengkap mengenai perkara-perkara ini agar mereka juga boleh membantu mendapatkan komen dari pengurusan PETRONAS dan Perdana Menteri,” katanya.

Tiada ulasan: