HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Disember 2013

Selamatkan Malaysia dari ramalan kemiskinan 2030- Nurul Izzah

Oleh: Ainudin Othman


PETALING JAYA: Dengan memetik kajian dilakukan Pengurusan Kekayaan Bank Amerika, Merill Lynch, Nurul Izzah Anwar berkata Malaysia kini berdepan dengan ancaman kemiskinan menjelang 2030.

“Kajian Merill Lynch meramalkan Malaysia akan jadi masyarakat yang muda dan miskin menjelang 2030.

“Adalah menjadi tanggungjawab generasi kini untuk memastikan kita terselamat daripada ramalan-ramalan yang menggerunkan sebegini dan rantaian belenggu oleh pihak kerajaan,” ujarnya ketika ucap tama dalam Forum Fiqh Tawaqqu ‘Masa Depan Masa Kita’ di sebuah hotel di Petaling Jaya malam tadi.

Menurutnya, rakyat harus sedar mereka ditekan dengan pelbagai dasar kerajaan terutama dalam bidang ekonomi akibat kegagalan urus tadbir dan amalan rasuah yang tidak terbendung.

“Sekiranya rasuah terus berkembang seperti sekarang, sudah tentu pada masa depan ia akan memufliskan negara, melebarkan jurang antara kaya dan miskin, menaikkan harga barang, menyempitkan peluang pekerjaan serta perniagaan dan memaksa majoriti rakyat untuk bergantung kepada bantuan kewangan demi menyara kehidupan.

“Pengenalan dasar lain seiring dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan melebarkan lagi jurang ekonomi di Malaysia yang kekal antara  tertinggi di Asia,” tegas Naib Presiden KEADILAN itu.

Beliau turut menyentuh isu kemerosotan bidang pendidikan yang dilihat membantutkan proses daya saing negara di peringkat global serta sistem parlimen yang gagal mewakili kepentingan suara rakyat.

Forum yang bermula jam 8 malam itu dan dihadiri kira-kira 300 orang diadakan sebagai usaha menentang kezaliman dilakukan kerajaan BN pasca pilihan raya umum lalu.

Forum dijayakan oleh moderator, Wan Ji Wan Husin serta tiga ahli panel terdiri daripada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Tiada ulasan: