HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Disember 2013

Umno masih lagi berjanji…dan akan terus berjanji -



Oleh Aspan Alias


Saya mengikuti sebahagian ucapan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin semasa beliau merasmikan Perhimpunan Agung tiga sayap parti itu malam tadi. Semasa saya terlihat saluran yang memberikan siaran langsung dari PWTC itu Muhyiddin sedang menyebut tentang Islam yang Umno menjadi bentengnya, sebagai yang diakui oleh Muhyidin sendiri

Umno katanya, tetap mempertahankan Islam dan membangunkan Islam itu tanpa kompromi dan Umno 'commited' untuk mempertahankan kesucian Islam dengan segala tenaga yang ada. Itu sebabnya kata Muhyiddin, Umno mengambil sikap jelas dan lantang tidak membenarkan fahaman songsang dalam Islam seperti syiah dan sebagainya dan beliau menzahirkan niat beliau untuk memasukkan ahli Sunnah wal jemaah di dalam Perlembagaan negara.

Muhyidin berkata, Umno menentang usaha mana-mana pihak untuk membenarkan kegiatan LBGT dan sebagainya secara bebas. Umno tidak tahan dengan tindakan seks di luar tabii dan apa-apa yang menentang nilai dan syariat Islam yang suci itu. Banyak lain tentang Islam yang beliau sebut dalam ucapan beliau itu. Umno tetap mempertahankan nilai Islam dengan tegas tanpa ada kompromi langsung, katanya.

Semua yang disebut oleh Muhyidin itu sememangnya isu dan tindakan yang baik untuk Islam, Melayu dan negara. Itu pun perjuangan Umno dan menjadi sebutan oleh pemimpin Umno sejak dari dahulu sampai sekarang kerana itulah kebenaran Islam dan landasan perjuangan Umno itu. Muhyidin menyebut isu ini dengan panjang lebar kerana isu agama menjadi isu besar dalam politik tanah air dan dengan menyebut isu ini tentulah Muhyiddin cuba hendak bermain di padang PAS yang sedang mendapat sambutan ramai sekarang ini.

Mungkin dalam keadaan terdesak Umno akan cuba untuk melangsungkan apa yang disebut oleh Timbalan Presiden parti itu. Tetapi itu sahajakah yang mahu disebut dan dicakapkan dengan jelas oleh Muhyiddin?

Bolehkah Umno mempertahankan kesucian Islam dan memperbaiki persepsi agama Islam di mata rakyat berbilang kaum dan agama itu, kerana ia disebut oleh pemimpin parti yang begitu jumud jika dipandang daripada sudut Islam, agama anutan seratus peratus ahlinya.

Sudah cukup bersediakah Umno untuk mempertahankan Islam itu kerana banyak perkara yang bertentangan dengan Islam menjadi perkara biasa dalam Umno dan dilakukan oleh hampir semua pemimpinnya. Perkara ini disebut dalam setiap perhimpunan agung Umno sejak dari dulu lagi lebih-lebih lagi sejak negara memulakan budaya rasuah dan salah guna kuasa melebihi lebih sedikit dari tiga dekad yang lalu.

Percakapan tentang Islam ini sama naik dengan kebangkitan rasuah di dalam Umno sejak awal 80-an dahulu. Bagaimana kumpulan perasuah boleh mempertahankan kesucian agama Islam? Bukankah rasuah itu satu tindakan yang amat hina tidak terkira di sisi masyarakat, lebih-lebih lagi di sisi agama anutan kita. Kenapa pimpinan Umno mengaku sebagai pelindung agama Islam sedangkan apa yang mereka lakukan bertentangan secara ‘head-on' dengan agama dan Tuhan kita?

Bagaimana kumpulan yang menentang syariat suci Islam mahu mempertahankan Islam itu tanpa kompromi sedangkan kesucian Islam yang paling penting sudah dikompromikan oleh Umno.

Kita bukan ulama besar malahan bukan ulama kecil sekali pun. Tetapi sebagai seorang Islam yang masih jahil seperti saya memahami dengan jelas dan dan keyakinan saya agaknya sudah sampai ke peringkat haqul yakin yang perasuah tidak mungkin mampu membuat keputusan yang baik dan itu sendiri ada penentangan terhadap Islam itu. Malah elemen rasuah inilah yang menjatuhkan kerajaan negara-negara Islam akhir-akhir ini di Asia barat satu demi satu.

Kita juga memahami pemimpin yang bercakap tentang rasuah seperti disebut oleh Muhyiddin semalam itu, yang rasuah sememangnya berlaku di kalangan jemaah kepimpinan mereka. Tetapi bagaimana Muhyiddin begitu berani mengaku yang Umno itu adalah benteng untuk Islam kerana beliau tahu Umno tidak terlepas dengan isu tegahan mutlak Islam itu.

Mungkin yang ramai-ramai dalam Umno itu tidak tahu apa itu komitmen terhadap agama itu kerana jiwa dan batin mereka tertutup hijab untuk mengenali mana yang layak untuk mempertahankan agama suci dan mana hanya pandai bercakap di pentas perhimpunan agung Umno sahaja.

Kita mahu mendengar ucapan penangguhan Ustaz Kazim Elias dalam ucapan penangguhan perhimpunan ini berhubung dengan orang yang mengetahui rasuah berlaku di kalangan mereka tetapi bergegar-gegar bercakap dan berjanji untuk kesucian agamanya. Kita tidak payah mendengar lagi ucapan Jamil Khir Baharom kerana kita sudah tahu apa yang hendak beliau katakan dan semua akan menjadi bahan cacian ramai semata-mata.

Kita hendak juga mendengar kata-kata Ustaz Kazim, yang sangat dihormati oleh Umno itu. Kalau tidak tentunya beliau tidak dilantik menduduki ahli Majlis Tertinggi Umno bersama Azeeez Rahim dan JJ itu. Saya berharap Ustaz Kazim akan menunjukkan bakat kepimpinan beliau dan bukan lagi setakat menunjukkan bakat menyanyi dalam dakwah agamanya.

Janji-janji pimpinan sama sejak 30 tahun dahulu, tetapi keadaan semakin hari semakin rumit.

Alangkah indahnya kita mendapat kepimpinan yang pandai berjanji dan mampu melaksanakannya. Setakat ini kita hanya ada pimpinan yang berjanji seolah-olah dunia pun hendak dialih dan dianjaknya. Janji Muhyiddin semalam seolah-olah tidak ada Umno,tidak selamat Islam di dunia ini.

Ugutan Umno kepada orang Melayu jika tidak menyokong Umno, Melayu akan hilang di dunia ini.

Tetapi selama ini orang Melayu menyokong Umno, tetapi Melayu hampir hilang dunianya. Inilah yang terjadi kepada kita sekarang ini. Umno masih lagi berjanji dan terus berjanji. - aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: