Dr Muhammad Nur Manuty 
 Dr Muhammad Nur Manuty


IPOH – Tindakan pendakwah bebas, Mohammad Kazim Elias menolak pelantikan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno bukti beliau mempunyai jati diri dan prinsip perjuangan.

Pengerusi PKR Negeri, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, sebagai pendakwah popular sudah tentu beliau dijanjikan dengan pelbagai keuntungan kebendaan tetapi beliau menolak.

Menurutnya, inilah contoh baik yang ditunjukkan Mohammad Kazim untuk memastikan perjuangan dakwahnya tidak diganggu dengan mana-mana parti.

“Sejak dahulu lagi, tiada tempat untuk golongan agama dalam Umno, namun berlaku perubahan akibat kemerosotan parti itu.

“Mereka terpaksa mengambil jalan untuk menguatkan pengaruh dan kedudukan politik dengan mencari tokoh muda yang berlatar belakang agama untuk membantu Umno,” katanya.

Beliau berkata, sudah semestinya Mohammad Kazim atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Kazim mendapatkan nasihat dari abangnya, Kapten(B) Mohd Najmuddin Elias yang pernah menjadi penasihat agama menteri besar dan mempunyai pengalaman dalam kerajaan Perak sebagai tokoh agama.

“Dalam hal ini, mungkin ia tidak berkesan kerana apa yang ingin dibuat tidak dapat dilaksanakan.

"Untuk mempertahankan khalayak yang ingin memanfaatkan ilmu dakwahnya adalah lebih baik beliau tidak menyertai Umno dan mengisytiharkan keluar Pas,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PKR negeri, Anuar Zakaria memaklumkan, apa yang berlaku ini jelas menunjukkan kegagalan Umno dalam memperjuangkan isu Islam dan orang Melayu.