KUALA TERENGGANU – Kerajaan perlu membuat 'post mortem' secara besar-besaran berhubung insiden kehilangan pesawat MH370 yang mengundang pelbagai spekulasi sehingga di peringkat antarabangsa.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, insiden itu dianggap penuh misteri sejak hari pertama ia dilaporkan dan berdasarkan penelitian yang dilakukan, satu jawapan yang tepat perlu diberikan bagi mengungkai setiap persoalan daripada banyak pihak.
“Dalam misteri itu ada perkara yang perlu diberi jawapan dengan tepat terutama melibatkan tanggungjawab seperti tugas spesifik pengawal udara; Jabatan Penerbangan Awam (DCA); TUDM dan penyelia radar.
“Dalam perkara ini, saya lebih berminat untuk lihat adakah berlakunya elemen kecuaian sebagai contoh, kecuaian memaklumkan dengan segera apabila pesawat buat lencongan. Misalnya, pihak tentera udara boleh hantar jet untuk memintas pesawat berkenaan, tetapi maklumat itu dibuat beberapa jam selepas berlakunya perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Taklimat Khas dan Jamuan Bersama Ahli PKR, di sini, kelmarin.
Menurutnya, selain elemen kecuaian berkaitan tugas spesifik, terdapat juga beberapa perkara lain yang menyebabkan kecuaian seperti sistem keselamatan di laluan masuk seperti di sekatan imigresen dan penyemakan bagasi.
“Kesemua perkara ini meminta kita supaya buat satu 'post mortem' secara besar-besaran. Sebagaimana yang kita tahu, MAS telah mengalami kerugian dalam tempoh terlalu lama, kemalangan ini beri signal ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan MAS.
“Saya difahamkan setiap pesawat harus ada Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS), maksudnya bila kapal terbang bergerak, kita boleh tahu ke mana ia pergi, tapi sistem ini tidak dilanggan oleh MAS, bagaimanapun, MAS dalam laporan audit menyebut mereka ada membeli sistem ini,” katanya.
Mengulas mengenai spekulasi yang tersebar sama ada menerusi media sosial tempatan dan antarabangsa, Azan berkata, rakyat Malaysia perlu diberi ruang untuk berfikir dan berspekulasi kerana ia akan mematangkan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan