MH370: PM tidak sebut terhempas Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) menjawab pertanyaan media pada sidang media mengenai perkembangan terkini pesawat MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut perkataan "terhempas atau tiada yang terselamat" semasa mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
  
Perkara ini dijelaskan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri HishammuddinTun Hussein dalam sidang akhbar rutin hari ini berikutan tuntutan maaf keluarga penumpang warga China daripada kerajaan Malaysia.
  
"Sebahagian daripada sebab-sebab permohonan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa perdana menteri atau kerajaan telah menyatakan bahawa pesawat itu sebenarnya telah terhempas dan tiada yang terselamat.
  
Perkara itu benar-benar salah..Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat," katanya memetik kenyataan Najib pada 24 Mac.
  
Semasa membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, Najib berkata: "Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu saya dengan perasaan amat sedih dan terharu ingin memaklumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi".
      
Pengumuman itu mencetuskan kekecewaan di kalangan sanak saudara penumpang dan anak kapal terbabit dan menggesa kerajaan supaya memberikan keterangan konkrit dalam dapatan mereka.
  
Pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL jam 12.41 tengah malam.
  
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing jam 6.30 pagi hari yang sama.
  
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata, usaha mencari sebarang serpihan yang dicerap satelit berkemungkinan berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines itu akan diteruskan.
  
Walaupun serpihan yang ditemui di Lautan Hindi didapati tidak berkaitan dengan pesawat malang itu, Hishammuddin berkata tiada garis masa bagi operasi mencari.

"Kami perlu berlaku adil kepada anggota keluarga (penumpang dan anak kapal). Buat masa ini usaha itu tidak akan dikurangkan. Apa yang berlaku selepas ini, kami telah berbincang tetapi ia tidak sesuai untuk berkongsi dengan orang ramai untuk berlaku adil kepada anggota keluarga," katanya.
     
Semasa sidang akhbar itu, beberapa media asing meminta Hishammuddin menjelaskan maklumat grafik mengenai tindakan MH370 berpatah balik yang diberikan semasa taklimat kepada keluarga penumpang di Beijing.
  
"Saya tidak boleh sahkan. Saya tidak akan berdebat mengenai perkara itu di sini. Taklimat dengan keluarga itu diadakan secara tertutup," jawab Hishammuddin.
  
Bagi setiap soalan teknikal mengenai MH370, Hishammuddin mengulangi bahawa ia hanya boleh dijawab apabila kotak hitam itu ditemui.
  
"Masa semakin suntuk, untuk isyarat itu keluar daripada kotak hitam, jika ia memang di selatan Lautan Hindi," katanya.
  
Hishammuddin juga berterima kasih kepada pihak berkuasa Australia atas kerjasama dan komitmen mereka mengetuai operasi mencari di koridor selatan.
  
"Saya mahu bukan sahaja untuk berterima kasih tetapi memohon mereka meneruskannya di sebalik pelbagai cabaran dan jaraknya. Tetapi setiap hari saya lihat mereka tidak mengecewakan kita terutama anggota keluarga," katanya. - Bernama