HALAMAN SANTAI
Jumaat, 1 Ogos 2014
Amerika dan Israel paksi kejahatan global
"Dengan kenyataan yang sama kami mengecam keras Amerika Syarikat yang mengumumkan akan membekal senjata baru untuk rejim Israel untuk meneruskan serangan membunuh warga awam di Gaza termasuk kanak-kanak dan wanita sedangkan dalam masa yang sama Presiden Obama mengesa supaya segera diadakan gencatan senjata," ujar Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.
Berikut kenyataan penuh beliau.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengecut tentera rejim Israel yang membedil sekolah perlindungan pelarian PBB di Gaza ketika kanak-kanak sedang tidur di dalam kem tersebut.
Dengan kenyataan yang sama kami mengecam keras Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan akan membekal senjata baru untuk rejim Israel untuk meneruskan serangan membunuh warga awam di Gaza termasuk kanak-kanak dan wanita sedangkan dalam masa yang sama Presiden Obama mengesa supaya segera diadakan gencatan senjata.
Digabungkan kedua negara ini, dunia tidak perlu ragu-ragu merumuskan bahawa AS dan Israel adalah paksi kejahatan global yang sebenar.
Laporan rejim Israel membedil untuk kali kedua sekolah PBB sama sekali tidak boleh dimaafkan. Ia menunjukkan keganasan paling barbarik membunuh secara massa orang awam yang dilancar oleh tentera Israel ke atas Gaza atas nama Operation Protective Edge.
Dalam kata-kata Ban Ki Moon, Setiausaha Agong PBB sendiri "semua bukti menunjukkan Israel yang bertindak ganas dan ini adalah perbuatan ganas yang paling memalukan".
Kami menegaskan sekali lagi tidak ada pilihan lain melainkan melancarkan respons ketenteraan ke atas rejim zionis Israel. Keganasan rejim Israel hanya boleh disekat dengan tindakan tentera.
PBB tidak boleh membiarkan keganasan paling zalim oleh perbuatan tidak bertamadun Israel ini lepas begitu sahaja. Perbuatan rejim Israel mesti dihukum dengan hukuman paling berat.
Ketua agensi PBB untuk pelarian, UNRWA sendiri menyatakan kini bukan lagi operasi kemanusiaan tetapi beralih ke operasi menyiasat jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Israel tanpa belas kasihan.
Kami menyatakan kecaman kami yang tegas terhadap PBB yang tidak bertindak. Dengan hanya mengeluarkan kenyataan mengutuk terhadap Israel yang dikeluarkan oleh sebuah agensi dunia, tidak mencukupi. Malangnya bilangan mayat semakin bertambah sehingga hari ini. Akibatnya keganasan zionis Israel telah membunuh lebih dari 1,300 orang kebanyakannya orang awam dan PBB masih terus hanya bersidang dan tidak lebih dari itu.
Kini wibawa PBB tercabar untuk memaksa Israel menghentikan keganasannya. Sekiranya PBB masih menunda untuk bertindak menyekat Israel, maka kewujudan PBB tidak lagi bermakna.
Kebanyakan negara di dunia mengutuk perbuatan rejim Israel tetapi tidak seorangpun yang menggesa PBB menghantar tentera pengaman untuk melindungi nyawa orang awam di Gaza.
Apakah yang dilakukan agensi antarabangsa yang lain? Kenapa agensi-agensi itu tidak bertindak menghentikan pembunuhan kejam rejim zionis Israel ini?
AS adalah dalang utama dalam keganasan ini. AS yang merestui perlakuan barbarik Israel. AS yang membekalkan senjata tentera bernilai berbilion dolar untuk Israel menggunakannya membunuh rakyat Palestin. Dalam operasi yang sudah membunuh, mencedera dan menghancurkan seluruh infrastruktur Gaza, AS bertanggungjawab sepenuhnya.
Kami menggesa supaya dunia bangkit menentang mafia dunia, AS dan Israel. Kedua negara ini perlu didedahkan sebagai paksi kejahatan paling utama dalam dunia dan semua kerajaan mesti berani menentang kedua negara ini.
Kami menegaskan semula agar Sidang Khas Parlimen Malaysia mesti diadakan untuk mengusulkan resolusi khas mengutuk kekejaman Israel dan juga mengusulkan supaya PBB mangadakan sidang khas untuk memecat negara haram Israel dari PBB dan mengisytiharkan sekatan ekonomi dan perdagangan ke atas Israel. - HARAKAHDAILY
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan