HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Ogos 2014

Isu MB: Anwar-Khalid atur perjumpaan

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
KLANG: Rundingan  antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang diatur dalam usaha untuk menyelesaikan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor, dengan kem Khalid mengakui beliau memerlukan sokongan PKR untuk terus memegang jawatan itu. 
 
Setiausaha Politik Khalid, Azman Abidin berkata Khalid, Anwar dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya berjumpa sebelum Hari Raya namun tergendala kerana cuti perayaan itu. 
 
"Saya harap perbincangan ini akan diteruskan semula dalam masa terdekat," The Star memetik Azman sebagai berkata.
 
Azman mengaku beliau perantara yang mengaturkan perbincangan selain menyampaikan komunikasi antara Khalid dan Anwar.
 
"Saya berusaha keras agar perbincangan itu dapat diadakan supaya Tan Sri (Khalid) akan diberi peluang untuk mengekalkan jawatannya sebagai menteri besar," kata Azman.
 
Beliau berkata, walaupun Khalid menerima sokongan PAS supaya mengekalkan jawatannya, beliau memerlukan persetujuan PKR untuk terus menerajui Selangor.
 
"Tan Sri merupakan ahli PKR, jadi amat penting beliau perlu mendapat mandat dari PKR untuk kekal," kata Azman.
 
Beliau berkata isu ini bolej diselesaikan secara baik jika ia dibincangkan secara dalaman bersama parti.
 
"Keadaan boleh kembali reda dan orang ramai tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan parti dan Pakatan Rakyat," katanya.
 
Jika rundingan gagal diteruskan, Azman berkata, Khalid perlu menunggu hasil perbincangan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang seterusnya. 
 
Mesyuarat itu dijangka mencapai kata putus berhubung kedudukan Khalid setelah menerima keputusan rasmi PAS berhubung isu itu. Jawatankuasa Pusat PAS akan bermesyuarat pada 10 Ogos.
 
PKR mahu Khalid menyerahkan jawatannya kepada Dr Wan Azizah.
 
DAP bersetuju dengan pertukaran itu tetapi pemimpin PAS tidak setuju dengan cadangan tersebut.
 
Menurut Azman, tindakan Khalid yang dilihat bertemu dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah kunjungan sempena Hari Raya.
 
"Ia hanya kunjungan Hari Raya dan tidak lebih daripada itu," katanya.

Tiada ulasan: