Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Pakatan Rakyat (Pakatan) akan membincangkan langkah
seterusnya dalam memastikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.
Menurut Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, persetujuan yang dicapai
bersama antara PKR-DAP-PAS baru-baru ini akan dibincangkan dalam
pertemuan kedua Pakatan hari ini.
"Jam 11.30 pagi ada pertemuan Pakatan Rakyat kedua, setelah pertemuan pertama yang memutuskan pencalonan Wan Azizah.
"Kita akan berbincang dari segi prosedur seterusnya kerana telah
dimuktamadkan di peringkat PR," ujar Izzah pada sidang media selepas
merasmikan Kongres Wanita PKR di Stadium Melawati Shah Alam, hari ini.
Sebagaimana diketahui, PKR menamakan Wan Azizah sebagai calon
menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas menteri besar itu
ditolak oleh pimpinan Pakatan Rakyat atas alasan pelbagai keputusan
membabitkan kepentingan negeri tidak dirujuk kepada gagasan tersebut.
PAS pada mulanya menolak persetujuan PKR dan DAP untuk menggantikan
Khalid kerana yakin beliau bebas daripada segala salah laku pentadbiran.
Bagaimanapun Ahad lalu selepas mengadakan mesyuarat kepimpinannya, PAS
mencapai kata sepakat untuk bersama dua parti sekutu di dalam Pakatan
untuk menyokong Wan Azizah.
Malah Izzah juga menyifatkan ibunya mempunyai ketokohan dan mampu untuk menjadi calon yang baik dalam menggantikan Khalid.
"Sebagai salah seorang pimpinan parti, saya terikat dengan keputusan
parti. Dan saya sebutkan, ia telah dibincang dan diputuskan di peringkat
PR.
"Tentunya semua ini memberikan beliau (Wan Azizah) kebolehan untuk
menjadi wanita yang kuat. Pada saya sikap empati itu penting, sama ada
mereka merupakan isteri tahanan pemenjaraan atau suri rumah yang
memerlukan dokongan, pada saya ini kualiti yang penting.
"Namun yang perlu kita ingat, beliau tidak pernah bersendirian. Ramai
teman seperjuangan yang bersama membantu beliau," ujarnya.
Sementara itu wanita PKR juga menyatakan perkara yang sama.
Ketuanya, Zuraidah Kamaruddin berkata kepayahan yang dilalui Wan Azizah
suatu masa dahulu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan dan
pengalaman beliau yang pernah diangkat sebagai ketua pembangkang wanita
pertama juga memberi kelebihan untuk mentadbir negeri.
Ini sekaligus menolak dakwaan PAS yang sebelum ini tidak mahu seorang wanita diangkat sebagai ketua negeri.
"Saya tidak nampak sebab yang diberikan terutama oleh PAS mengenai
alasan wanita. Ia tidak jelas. Malah spekulasi, dolak-dalik yang
mengatakan alasan ini tidak sesiapa yang mengaku. Pada saya ia satu
propaganda dan yang tidak benar.
"Jika ada orang yang beri kenyataan ini dia kena ke depan dan jelaskan
secara ke depan. Jadi mudah untuk kita mengatasi isu ini.
"Tidak menjadi isu tentang kelayakan beliau sebab ia sudah dibuktikan.
Selain itu kita ad akepimpinan yang lain untuk membantu beliau untuk
memastikan Selangor terus mara dengan agenda yang kita akan bawa, dan
akan lebih baik dari apa yang ada sekarang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan