HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Ogos 2014

Lynas mohon lesen operasi penuh

MALAYSIAKINI


 


Walaupun mengalami masalah kewangan yang berat, Lynas Corp telah memohon Lesen Peringkat Operasi Penuh (FOSL) bagi loji nadir bumi di Zon Perindustrian Gebeng, Pahang.

Lesen Operasi Sementara loji (TOL) akan luput pada 2 September.

Menurut laporan suku tahunan bagi tempoh yang berakhir pada 30 Jun tahun ini, syarikat Australia itu telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan untuk permohonan bagi mendapatkan FOSL untuk Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) kepada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Ia menyatakan bahawa Lynas juga telah membuat e-permohonan serta mengemukakan surat hasrat.

Menurutnya, penilaian untuk FOSL termasuk sejarah pematuhan syarikat terhadap syarat Lesen Operasi Sementara.

Lynas, katanya, telah mematuhi semua keperluan peraturan dan semua syarat Lesen Operasi sementara sejak ia dikeluarkan oleh AELB pada bulan September 2012.

Malaysiakini gagal untuk mendapatkan jawapan daripada AELB mengenai perkara itu.

AELB telah mengeluarkan lesen operasi sementara kepada Lynas untuk
tempoh dua tahun pada 3 September 2012 dengan lima syarat, termasuk mengemukakan Kemudahan Pelupusan Tetap (PDF) sisa radioaktif.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi kemudiannya mengenakan dua syarat tambahan ke atas lesen itu, yang memerlukan Lynas mengemukkan kaedah pelumpuhan untuk melumpuhkan unsur-unsur radioaktif dalam sisanya dan pelan tindakan kecemasan bagi kawalan debu.

Bagaimanapun, syarikat tersebut mengalami masalah kewangan yang besar yang menyaksikan harga sahamnya merudum.

Ia telah merancang untuk menjual A$40 juta saham dan juga melambatkan pembayaran balik hutang USD215 juta yang tertunggak kepada Sojitz Corp yang berpangkalan di Jepun, hingga Jun 2016.

Oleh itu, jawatankuasa kumpulan'Save Malaysia Stop Lynas' telah mendesak AELB supaya tidak mengeluarkan FOSL kepada Lynas.

Tiada ulasan: