KUALA LUMPUR - Penganjur himpunan aman 'Selamatkan Anak-anak Gaza', Viva Palestina Malaysia (VPM) dan Aqsa Syarif menyifatkan himpunan gergasi tersebut berjaya apabila hampir 50,000 peserta pelbagai latar belakang membanjiri Dataran Merdeka, hari ini.
Menurut Pengerusi VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, pihaknya terharu dengan sokongan yang dihulurkan seluruh rakyat Malaysia yang turut serta dalam himpunan aman itu.
Malah menurutnya, hanya dalam tempoh empat hari, himpunan tersebut berjaya menarik puluhan ribu peserta tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik.
“Ini satu perkara yang luar biasa untuk rakyat Malaysia datang dari jauh dan dekat, pelbagai bangsa, bahasa dan fahaman politik yang berbeza. Ini merupakan mesej jelas kepada Israel supaya berundur.
“Saya difahamkan bahawa paling kurang adalah 50,000 rakyat Malaysia. Alhamdulillah. Ini tidak boleh kita lakukan dalam tempoh waktu yang begitu kecil. Kurang daripada empat hari,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau turut menyentuh peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Amerika Syarikat dan Mesir.
“Kita juga memberitahu kepada Amerika Syarikat bahawa kamu memberi kewangan yang paling banyak serta bekalan senjata kepada Israel. Malah kamu bersubahat membunuh anak-anak kita di Gaza. Hentikan semua ini.
“Kepada Mesir,bukakanlah pintu Rafah supaya kami, NGO-NGO boleh masuk membawa bantuan. Kita harap himpunan raksasa ini berterusan. Saya percaya ini akan memberi tekanan kepada AS dan Israel,” katanya.
Sementara Pengerusi Aqsa Syarif, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, himpunan tersebut merupakan usaha berterusan bagi menunjukkan mesej jelas kepada Israel bahawa seluruh rakyat dunia menentang tindakan kejam itu.
Malah katanya, pembunuhan tersebut perlu dihentikan serta-merta.
“ Ini usaha berterusan. Kita kena tunjukkan kepada mereka kemarahan kita terhadap pembunuhan yang tidak masuk akal ini. Ini jenayah paling teruk yang berlaku.
“Ia mesti dihentikan sekarang bukan esok atau lusa. Ini kita tunjukkan mesej jelas kepada mereka. kita bersama-sama dengan rakyat dari seluruh dunia,” katanya.
Pihak VPM dan Aqsa Syarif akan menghantar memorandum kepada kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Mesir di Malaysia, Isnin ini.
Antara pengisian memorandum itu adalah untuk menyeru AS menghalang tindakan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan