MALAYSIAKINI
Anggota jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mendakwa individu
yang membocorkan satu perbualan kontroversi di kalangan anggota PAS
Pusat berbuat demikian kerana tentangannya terhadap projek Langkah
Kajang.
Tanpa menamakan sesiapa, Zuhdi mendakwa perbuatan itu bertujuan untuk
memberi tekanan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar
bertindak terhadap beliau.
"Tujuan si pembocor adalah untuk mendesak PAS khususnya Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang agar mengambil tindakan terhadap saya, kerana saya
adalah antara penentang kuat ‘Kajang Move’ yang dicita-citakan oleh
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Secara tidak langsung juga, mereka yang berada di pihak pembocor
memberi tekanan supaya pimpinan PAS bersetuju dengan langkah itu,"
tulisnya di laman Facebook beliau, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa "analisis senario" yang dibentangkannya
dalam perbualan di aplikasi WhatsApp yang bocor itu hanyalah satu
sindiran, dan tidak mewakili pandangannya sendiri.
Menurutnya, ia adalah olahan semula ke atas perasaan yang disuarakan
sesetengah pihak dalam PAS yang merasakan parti itu kini tunduk kepada
DAP.
Individu dalam kumpulan perbincangan tersebut juga tahu bahawa ia berunsur sindiran, katanya.
"Sekali lagi saya jelaskan, ayat yang saya pilih itu tidak menggambarkan
pendirian saya sebab saya tidak berada dalam senarai ahli perbincangan
yang menyokong (agar PAS) keluar (dari) Pakatan Rakyat.
"Saya cuma memaparkan senario perasaan lega segelintir ahli yang selama
ini menganggap PAS seperti dikuasai oleh DAP sehingga tidak dapat lagi
bersuara seperti dulu.
"Mereka yang ada dalam perbincangan itu akan faham unsur imaginatif dan
sarkastik tersebut – melainkan kalau mereka sememangnya menyimpan
strategi busuk untuk menjayakan agenda mereka seperti yang dilakukan
oleh si pembocor," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan