KUALA LUMPUR - Tindakan sekumpulan perwakilan Pemuda PAS
memboikot ucapan perasmian Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bakal
membuka jalan tindakan sama bakal dilakukan kepada Presiden PAS Datuk
Seri Abdul Hadi Awang esok, kata pengguna media sosial.
Sementara itu, laman Facebook El-Haraki mencabar mereka yang tidak
menyokong ulama dan presiden PAS semasa ucapan dasar Hadi dalam Muktamar
penuh PAS ke 60 pagi esok.
"Mendapat khabar berita, Mat Sabu and the geng sedang mengatur strategi
pula untuk keluar dewan apabila Tuan Guru Presiden berucap di Muktamar
penuh nanti. Keluarlah, tiada siapa yang bimbang dan takut," tulis laman
Facebook anti kumpulan profesional PAS itu.
Semalam media melaporkan minoriti 50 daripada 700 perwakilan Pemuda PAS
bertindak meninggalkan dewan muktamar sebaik saja Mohamad yang mesra
dengan panggilan Mat Sabu itu memulakan ucapan perasmian muktamar itu.
Bagaimanapun Mohamad dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menafikan
perkara itu berlaku. Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat turut menepis
laporan media tentang perkara itu.
Menurut laporan media semalam, perwakilan Pemuda PAS dari Terengganu
yang memakai vest bertulis "Kami menyokong presiden dan Majlis Syura
Ulama" dan diikuti perwakilan dari beberapa negeri lain termasuk Pahang,
Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Mohamad yang merasmikan muktamar di Dewan Chon Moi, Kota Tinggi, Johor
berkata, waktu itu adalah waktu solat Asar dan tidak timbul isu
penyokong presiden PAS meninggalkan muktamar.
"Saya tidak nampak... memang waktu itu mereka keluar pergi sembahyang.
Biasalah keluar masuk. Itu masuk waktu Asar," katanya kepada pemberita
selepas selesai muktamar berkenaan semalam.
Tentang pakaian yang dipakai oleh mereka yang meninggalkan dewan itu,
Mohamad berkata: "Pakaian itu biasa, kita tidak tentukan pakaian, ada
yang pakai baju Unit Amal, bersama Pakatan.”
Tindakan 50 perwakilan itu diserang pengguna laman sosial dengan
menyifatkan mereka tidak beradab dan mencatat sejarah tersendiri apabila
ia berlaku dalam muktamar Pemuda PAS semalam.
"Siapa kamu hendak dibandingkan dengan Abng Mat, hujung kuku beliau pun
kamu tidak boleh lawan," tulis Zulkifli Yacob, bekas ketua pemuda PAS
Kelantan dan bekas exco Pemuda PAS Pusat di akaun Facebooknya.
Zulkifli berkata, Mohamad konsisten sehingga kini dalam menentang Umno
dan berkata:"Lokap adalah rumah keduanya, Kem Kemunting kampung
halamannya, jatuh bangun, pujian dan fitnah adalah makanan hariannya,
jutaan ringgit dikutip melalui ceramahnya untuk kelangsungan parti PAS.
"Sedikit kelemahannya bukan penyebab kamu hendak tolak sejuta jasa yang
ditabur dalam perjuangan ini," tulis beliau hari ini merujuk kepada
peristiwa semalam.
Tidak kurang juga yang menyindir tindakan ini sebagai "menggambarkan
akhlak yang beradab tinggi, kerana menunjukkan setia dan wala’ yang
tinggi kepada presiden parti sebab itulah mereka memakai vest 'Kami
bersama presiden dan majlis syura ulama'.
Mahmud Zaim Musa menambah, "Tindakan mereka sebenarnya menggambarkan
hasil tarbiyyah dan doktrin wala’ kepada presiden dan Majlis Syura
Ulama".
Namun ada juga yang menyokong tindakan itu dan menyifatkannya sebagai
wajar ekoran tindakan Mohamad yang tidak menyokong tindakan Hadi dan
Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini.
Ekoran krisis di Selangor, kepimpinan utama PAS dilihat berbeza
pendapat dengan Hadi dan Majlis Syura Ulama berada di satu pihak
manakala sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat di pihak
lain.
Ia bermula apabila Hadi mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan
sebagai menteri besar Selangor dan kemudiannya disokong Majlis Syura
Ulama.
Khalid kemudiannya dipecat PKR kerana berdegil tidak mahu memberikan
laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai
menteri besar Selangor.
Walaupun Sultan Sharafuddin Idris Shah masih belum melantik menteri
besar, hanya Dr Wan Azizah yang jelas mempunyai sokongan majoriti Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan