HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 September 2014

NGO Islam: Raja wanita pernah perintah Acheh

MALAYSIAKINI


 


Tujuh wakil NGO Islam hari ini tampil menyokong pencalonan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor atas alasan kerajaan Islam Acheh di Nusantara juga pernah mempunyai perempuan sebagai raja.

Jurucakap utama kumpulan itu, Pengarah Pusat Kajian Pemodenan dan Masyarakat Sivil (Cesmacs), Dr Muhammad Nur Manuty berkata kerajaan Acheh pernah diperintah empat raja perempuan di antara tahun 1641 sehingga 1689.

Mereka adalah Ratu Sofiatuddin (1641-1675), Ratu Naqiatuddin (1675-1678), Ratu Zakiatuddin (1678-1688) dan Ratu Kamalat Syah (1688-1689).

"Pemerintahan raja-raja wanita selama 59 tahun di Acheh itu jelas menunjukkan mereka memerintah dengan adil dan berjaya memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat jelata," katanya pada sidang media di Shah Alam.

Beliau seterusnya berhujah bahawa hukum Islam tidak pernah menghalang seorang perempuan daripada menjadi pemimpin.

"Isu kepimpinan wanita tidak menjadi halangan dari segi syarak," kata Muhammad Nur.

Beliau turut memberi contoh negara Indonesia, Pakistan dan Bangladesh yang pernah mempunyai wanita sebagai presiden.

"Hal yang sama pun berlaku di Pakistan dan Bangladesh," kata bekas ketua penerangan PKR itu.

Diminta mengulas insiden penolakan soalan bertulis Wan Azizah di dewan negeri yang menyebabkan sesetangah pihak ragu akan kebolehannya, Muhammad Nur menegaskan bahawa rekod kepimpinan Wan Azizah perlu dinilai secara menyeluruh.

"Apa-apa ukuran kita nak muktamadkan aras seseorang itu biarlah sifatnya komprehensif dan bukan teryata atas satu insiden yang berlaku sahaja.

"Dia baru jadi ahli DUN Selangor, jadi dalam konteks Selangor dia baru, tetapi dia jadi MP dah lama sejak 1998," katanya lagi.

Sementara itu, Nik Yusof Nik Ismail dari Badan Dakwah Selangor (IMAN) mempertahankan Wan Azizah yang dianggap akan menjadi boneka kepada suaminya, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Nik Yusof, Wan Azizah boleh menerima nasihat sesiapa sahaja namun keputusan akhir dalam apa-apa perkara akan diputuskan Wan Azizah sendiri.

"Nasihat itu datang dari sesiapa pun tetapi keputusan itu tetap datang dari ketua," katanya.

Turut sama hadir dalam sidang media pagi tadi adalah wakil dari NGO WADAH Selangor, ABIM Selangor, Yayasan Takmir, NGO Pusat Kerohanian, dan Badan Dakwah Selangor.

Tiada ulasan: