Tan Sri Muhammad Md Taib berkata demikian dalam wacana Sinar ‘Kerusi Panas MB Selangor’.
SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Muhammad Md Taib menyatakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ‘over qualified’ untuk menjadi MB Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata demikian dalam wacana Sinar yang membincangkan soal ‘Kerusi Panas MB Selangor’ hari ini.
“Wan Azizah adalah calon yang terbaik, saya dulu tak tinggi sangat kelulusan, tetapi kelulusan yang ada adalah Wan Azizah, ‘over qualified’,” katanya.
Malah beliau mendakwa rakyat Selangor mempercayai kepimpinan PR di negeri itu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 dan 13 yang lalu.
Kenyataan itu dibuat beliau ketika mengulas berkenaan pencalonan Wan Azizah sebagai MB walaupun kemelut pertukaran ini masih belum berkesudahan.
“Apa yang rakyat putuskan pada dua penggal ini adalah suara-suara yang suci. Mereka bukan sahaja rasa PR masih boleh diangkat untuk memimpin negeri Selangor malah mengambil alih kerajaan persekutuan,” katanya lagi.
Ketika diajukan soalan berkenaan sikap PAS yang seolah-olah membuat ‘u-turn’, beliau enggan mengulas atas kapasiti sebagai ahli PAS sebaliknya menggunakan platform sebagai mantan MB paling lama di Selangor.
“Saya hanya boleh cakap sebagai bekas MB dan orang lama di negeri Selangor.
“Sewaktu Umno memerintah negeri Selangor, kerajaan persekutuan boleh memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh Umno.
“Tetapi kalau di Selangor, siapa lagi yang nak campur tangan, kita kena tunjukkan bahawa kita mampu dan kita boleh memimpin.
“Kalau kita tak tunjuk, kita akan hilang peluang yang ada,” jelas beliau.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berpendapat sekiranya PR duduk berbincang dan membawa satu keputusan yang dipersetujui, kemelut ini akan berakhir dengan baik.
“Kalau duduk balik (berbincang), cuba calonkan yang berkelayakan dan saya tak rasa istana nak tolak,” ujarnya.
Wacana tersebut turut dihadiri Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan juga Pakar Perlembagaan dan Undang-undang, Prof Dr Aziz Bari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan