Kelemahan tersebut memaksa Datuk Seri Mohd
Najib Tun Razak menggesa Peguam Negara bertindak tegas terhadap pihak
yang melanggar undang-undang
PETALING JAYA : Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang berakhir semalam menjadi ‘undi tidak percaya’ kepada Pejabat Peguam Negara.
Katanya, Peguam Negara yang dketuai Tan Sri Abdul Ghani Patail takut menghadapi kontroversi dan cabaran pihak pembangkang untuk menguatkuasakan Akta Hasutan 2014.
Menurut wartawan veteran itu, kelemahan tersebut memaksa Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggesa Peguam Negara bertindak tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang itu serta meminta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi melakukan siasatan sewajarnya terhadap kes-kes hasutan.
“Kata Najib (Perdana Menteri) dalam Perlembagaan, Peguam Negara ada kuasa mutlak tapi kita minta ketegasan dari Peguam Negara untuk bertindak tegas. Ini bererti bahawa Peguam Negara selama ini tidak tegas.
“Sebelumnya (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi juga diberikan tepuk sorak oleh para perwakilan apabila beliau meminta Jabatan Peguam Negara membantu polis dalam menjalankan pendakwaan di bawah Akta Hasutan yang mahu diimplementasikannya dengan segera,” katanya dalam entri terbarunya zamkata.blogspot.com.
Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan menyifatkan kata-kata Zahid ”Jangan salahkan polis, polis hanya menyiasat dan menangkap” merupakan suatu pembelaan terhadap polis yang selalu disalahkan oleh pihak Peguam Negara kerana lemah dalam menyediakan kes untuk pendakwaan.
Beliau turut mempersoalkan apakah Peguam Negara dapat memberikan bantuan yang berkesan susulan hasrat Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri untuk mengambil tindakan serta merta di bawah akta itu dan ketegasan yang mahu dilihat oleh Perdana Menteri.
Katanya, perkara yang menjadi permasalahan kepada kerajaan adalah sekiranya Peguam Negara disingkirkan, maka ia menunjukkan berlakunya campur tangan politik dalam penyingkiran itu.
“Tetapi jika rakyat yang diberikan harapan tinggi oleh Najib dikecewakan oleh sikap Peguam Negara, maka Najiblah yang akan tersungkur. Ramai orang berprasangka bahawa Peguam Negara juga berada di belakang pengumuman Najib untuk menghapuskan akta itu,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan