HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 November 2014

Najib hapus hutang dua syarikat, kerajaan tanggung RM876 juta

Oleh: Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghapuskan hutang dua buah syarikat berjumlah RM876 juta dan menukarnya kepada pegangan ekuiti yang akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung hutang berkenaan.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, kerajaan meluluskan  usul di parlimen hari ini untuk menukar hutang RM400 juta yang diberikan kepada Malaysia Debt Ventures (MDV), sebuah anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan.

Satu lagi usul untuk menukarkan hutang Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebanyak RM476 juta kepada ekuiti dengan nilai yang sama

“Ini bermakna, hutang anak-anak syarikat milik kerajaan itu dihapuskan begitu sahaja dengan menukarkannya kepada pegangan saham atau ekuiti,” kata setiausaha agung KEADILAN itu.

Menurutnya, akibat tindakan itu, kerajaan tidak boleh mengutip hutang RM876 juta daripada anak-anak syarikat berkenaan sedangkan hutang awal yang diberikan kepada mereka tetap perlu ditanggung kerajaan.

“Lebih membimbangkan, tindakan menukar hutang kepada ekuiti ini membayangkan syarikat-syarikat ini tidak mampu membayar hutang sehingga perlu diambil alih kerajaan,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Rafizi berkata dengan cara itu, risiko kerugian dan hutang kini ditanggung sepenuhnya kerajaan persekutuan.

Menurutnya, MDV menerima dana sebanyak RM4 bilion pada tahun 2009 untuk memberikan dana kepada syarikat teknologi maklumat (IT). Katanya, sebanyak RM2 bilion telah diagihkan kepada 250 syarikat IT sejak MDV ditubuhkan.

Manakala, kegagalan Prasarana menjelaskan bayaran baki hutang menunjukkan syarikat  itu terus mengalami kerugian.

Perkara itu katanya serupa dengan tindakan terhadap sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), iaitu SRC International, apabila hutang RM4 bilion yang diambil daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dipindahmilikkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan.

Tiada ulasan: