HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2014

Parti komponen BN kini dipinggirkan




Oleh Wong Shu Qi 


Sekian lama Umno disifatkan sebagai parti hegemoni yang lebih berkuasa daripada parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN). Jika diteliti siri-siri perbahasan sepanjang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 membuktikan parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC, PBB dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak lagi memberikan keuntungan politik dalam gabungan itu.

Menurut laporan media, Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Khairul Anwar Rahmat dalam ucapan perbahasannya di PAU menyelar kritikan-kritikan oleh pemimpin parti komponen BN yang menyatakan Umno merupakan parti rasis.

Beliau mencadangkan supaya pengerusi-pengerusi MCA, MIC ataupun Gerakan seharusnya mendapatkan restu daripada Umno terlebih dahulu sebelum diposisikan sebagai Ahli Majlis Tertinggi BN.


“Ini adalah untuk memastikan pemimpin-pemimpin (komponen parti BN) bukan sekadar jaguh kampung.”

"Jikalau pengerusi parti-parti komponen ini berasa tidak senang hati, mereka boleh keluar daripada BN supaya dapat mengurangkan penderitaan BN," ujar Khairul Anwar.

Kenyataan Khairul Anwar membuktikan MCA, Gerakan, MIC, PBS, PBB adalah sekadar 'window-dressing' semata-mata bagi Umno dalam BN.

Sumbangan parti komponen lain sememangnya tidak dihargai. Walaupun Umno mendapat 88 kerusi (parti yang mendapat jumlah kemenangan kerusi terbesar) di Parlimen, tetapi Umno tidak mungkin dapat membentuk kerajaan persekutuan tanpa sokongan 14 kerusi daripada PBB, 7 kerusi daripada MCA, 6 kerusi daripada PRS, 4 kerusi daripada MIC dan lain-lain.

Tambahan lagi, Pengerusi Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga turut mengakui rakyat di kubu kuat Umno di Johor juga terhakis apabila peratusannya menjunam teruk daripada 80% pada 2004 kepada 54% pada 2013.

Umno Johor hampir tewas di kerusi Parlimen Pasir Gudang, Muar dan Ledang apabila hanya mampu meraih kemenangan dengan majoriti tipis sekitar lingkungan 1000 undi sahaja.

Di saat Malaysia dijangka bakal berhadapan pelbagai cabaran, Umno terus mempermainkan sentimen perkauman sempit dan manipulasi agama untuk menutup kegagalan urustadbir dan tatakelola yang bersih dan berintegriti dalam pemerintahan negara.

Umno memperkenalkan GST dalam suasana kelembapan ekonomi dan memungkiri janji apabila terus mempertahankan Akta Hasutan. Ini antara tanda-tanda ketirisan dalam pentadbiran Umno/BN.

Dengan terus kekal berada dalam BN, MCA, MIC dan PBB bersubahat dengan Umno untuk menjahanamkan negara. Lebih malang lagi, daripada ucapan Khairul Anuar di PAU, ternyata Umno pada hakikatnya tidak menghargai parti-parti komponen BN ini.

Memandangkan BN dikuasai sepenuhnya oleh Umno, saya cadangkan agar BN dibubarkan sahaja dan parti komponen lain boleh menggunakan tiket Umno sahaja untuk bertanding dalam PRU yang akan datang. –M/Insider

* Penulis adalah pengarah polisi dan Adun Senai.

Tiada ulasan: