HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2014

Najib: Jangan pertikai lagi hak Melayu, raja dan agama Islam

MALAYSIAKINI



 
 
 
Perhimpunan Agung Umno 2014, berakhir dengan mesej tegas dan lantang Presiden Umno bahawa hak keistimewaan orang Melayu, Raja dan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan negara, tidak boleh dipertikaikan lagi.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata seluruh rakyat Malaysia perlu berhenti berbalah mengenai perkara berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada usaha memajukan negara, lapor Bernama.
 
"Kebebasan pun ada had. Kebebasan bukan mutlak. Tak boleh hina agama Islam, tak boleh cabar hak istimewa Melayu, tak boleh persoal sistem Raja-Raja Melayu, askar Melayu dan kita jaga kepentingan kaum lain.
 
"Jadi, amanlah kita. Asyik berbalah memanjang... kerja lain tak jadi. Saya nak kita memberi fokus bahawa kita majukan negara Malaysia tercinta ini. Kita nak bawa Malaysia ke depan. (Bukan) asyik berbalah saja," katanya dalam ucapan penggulungan perhimpunan itu di PWTC hari ini.
 
Ketegasan perdana menteri itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh lebih 2,700 perwakilan yang berada di Dewan Merdeka, malahan mereka yang mengikuti ucapan itu di luar dewan.

Najib berkata atas rasa tanggungjawab bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara serta menangani tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan perlembagaan negara, maka Akta Hasutan 1948 dikekalkan.
 
"Orang kata Akta Hasutan tak demokratik, akhbar antarabangsa serang saya. (Tuduh) saya mungkir janji, guna kekerasan. 
 
"Saya nak beritahu, tanggungjawab saya sebagai perdana menteri jaga keamanan dan keselamatan dalam negara kita," kata Najib, yang mengumumkan pengekalan Akta Hasutan 1948 semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Khamis.
 
Menyorot kembali bagaimana Malaysia mencapai kemerdekaan, mengecapi keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama, beliau menekankan bahawa konsep solidariti adalah asas kejayaan itu.
 
Najib turut menjelaskan bahawa solidariti yang beliau tegaskan semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dan telah menjadi antara topik perbahasan Perhimpunan Agung Umno kali ini bermaksud: 'bersatu dalam satu angkatan yang kukuh dan padu'.
 
Sambil menunjukkan salinan akhbar terbitan 1 September 1957, Najib berpendapat kata-kata Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman: "Look at the past with gratitude, look to the future with confidence" (Lihat masa lalu dengan rasa terhutang budi, lihat kepada masa depan dengan keyakinan), masih relevan diguna pakai pada hari ini. 
 
Kata Najib, keyakinan itu sebenarnya dibentuk hasil daripada perjuangan parti keramat Umno sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini. 
 
Bagaimanapun, Perdana Menteri turut menarik perhatian perwakilan akan peri pentingnya Umno dan Barisan Nasional (BN) terus meraih sokongan kaum lain. 
 
Katanya, tidak mungkin pemimpin negara terdahulu menubuhkan Parti Perikatan yang mewakili tiga kaum terbesar di negara ini, yang seterusnya dijenamakan semula sebagai BN, jika ia tidak memberi faedah kepada orang Melayu. 
 
"Sebab itulah penting bagi kita jaga BN, tapi tidaklah sampai mengorbankan prinsip-prinsip yang dekat di hati orang Melayu. 
 
"Orang kata Melayu adil, tegas, kontrak sosial dan sebagainya itu kenapa? Sebab kita bukan hanya nak tengok soal pilihan raya, tapi nak bina sebuah negara Malaysia, negara bangsa yang berjaya," katanya.

Tiada ulasan: