Oleh: Lyn Nasir
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai seorang pengamal undang-undang sepatutnya lebih tahu mengenai penggunaan Akta Hasutan yang bersifat menindas terutama kepada mereka yang mengkritik kerajaan.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kenyataan Shahrizat bahawa ada pihak akan mengambil kesempatan sekiranya akta itu dimansuhkan adalah tidak berasas.
“Saya rasa semua orang tahu yang Shahrizat adalah seorang peguam, dia lebih tahu mana satu hasutan, mana satu fakta dan dan mana satu perkara yang tidak boleh dikenakan di bawah akta hasutan.
“Tapi saya tak tahu kenapa kerajaan masih lagi terus menyalahgunakan akta tersebut kepada sesiapa sahaja yang mengkritik apa yang dikatakan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui Keadilan Daily di lobi parlimen.
Terdahulu, Shahrizat dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung wanita Umno turut berkata satu juta tandatangan akan diserahkan kepada Perdana Menteri sebagai bukti mereka memandang serius perkara itu.
“Tidak kira berapa tandatangan yang nak dikumpul itu, tapi tetap menjadi perkara pokok adalah pemerintah harus lihat, sama ada perkara yang dibangkitkan itu adalah betul-betu hasutan atau pun tidak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran menegaskan Akta itu tetap perlu dimansuhkan berikutan ia adalah undang-undang yang zalim kepada mereka yang mengkritik kerajaan Umno BN.
“Akta itu langsung tak berkaitan dengan kedudukan atau hak mana-mana pihak kerana sudah dinyatakan dalam Perlembagaan persekutuan di mana kedudukan semua rakyat perlu dipelihara. Akta Hasutan adalah undang-undang zalim yang menghukum orang awam, pembangkang, aktivis yang mengkritik atau menyoal kerajaan BN,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan