HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2014

Indeks Syariah Malaysia akan diperkenal

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan satu Akta Indeks Syariah Malaysia akan diwujudkan dalam memastikan hala tuju agama Islam yang dibawa oleh parti itu selama ini berpandukan tuntutan Islam sebenarnya.
 
Beliau berkata keperluan akta itu adalah untuk memastikan Umno terus menjaga dan melindungi agama Islam.
 
Akta itu bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan Februari 2015 dan dipertanggungjawabkan kepada satu jawatankuasa yang terdiri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pakar agama untuk menyediakan indeks berkenaan.
 
"Indeks syariah ini akan membuat penilaian sejauh mana negara ini bawah Umno telah menjaga agama kita, akal, keturunan, nyawa dan harta benda. 
 
"Lima tuntutan Maqasid Syariah, saya telah minta supaya satu 'task force' ditubuhkan dikendalikan oleh UIA dan Jakim jadi urus setianya dan dijaga oleh pakar agama dan indeks syariah ini untuk negara Malaysia," katanya ketika menggulung sesi perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2014 sebentar tadi.
 
Malah beliau yakin dengan penubuhan akta seperti ini boleh menjadi contoh atau teras kepada negara lain dalam mengembangkan Islam. 
 
"Bila kita dah bentangkan indeks syariah ini, kita boleh juga berbuat demikian untuk negara-negara Islam yang lain supaya dengan ini mudah-mudahan kita boleh gambarkan dan tunjukan supaya tiada siapa boleh sangkal sama sekali bahawa negara yang dibawah pimpinan Umno ini telah benar-benar menegakkan dan mengembangkan Islam," ujar Perdana Menteri ini lagi.   
 
Pengumuman Najib ini mungkin berkaitan dengan isu-isu yang berlaku akhir-akhir ini yang dilihat boleh menggugat kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara.
 
Antaranya adalah program 'I Want To Touch A Dog', kalimah Allah, pemulangan kitab Bible di Selangor dan terkini golongan transgender yang menuntut hak mereka di Mahkamah Syariah.            
           
Selain PAS sering menuduh Umno menguruskan negara tanpa berlandaskan ajaran Islam dan mendakwa Malaysia masih jauh daripada diiktiraf sebagai sebuah negara Islam.

Tiada ulasan: