REMBAU: Orang ramai diminta supaya menghentikan sementara aktiviti
pendakian di Gunung Datuk dekat sini berikutan keadaan tidak selamat dan
merbahaya ketika musim hujan sekarang.
Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Ibrahim Sharif berkata aktiviti ini
tidak sesuai dilakukan berikutan musim tengkujuh sekarang kerana ia
boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan yang membahayakan pendaki.
"Saya nasihatkan supaya orang ramai mencari masa yang lebih sesuai
iaitu sehingga cuaca betul-betul kembali pulih untuk memulakan semula
aktiviti mendaki gunung tersebut.
"Di samping itu mereka perlu mengikut kesemua peraturan keselamatan
yang telah ditetapkan terutamanya dari segi masa pendakian. Selain
jangan pergi seorang diri atau pun berpecah dari kumpulan," katanya
kepada Bernama.
Beliau berkata setiap pendaki perlu membawa bersama alat komunikasi
agar pihak berkuasa dapat mengesan kedudukan jika mereka hilang arah,
selain lampu suluh sewaktu aktiviti dijalankan pada waktu malam.
Beliau diminta mengulas dua kejadian pendaki tersesat semasa mendaki
gunung itu bulan ini melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi.
Sementara itu Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis
berkata Jabatan Perhutanan Negeri telah diarahkan untuk mengehadkan
aktiviti pendakian Gunung Datuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan