HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 November 2014

PR harap undang-undang baharu tidak disalah guna


Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim
 
 
KUALA LUMPUR - PR menyokong Kertas Putih yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam, untuk menangani ancaman kumpulan militan Negara Islam.

Namun parti pembangkang itu berharap undang-undang baharu yang akan dibentangkan nanti tidak disalah gunakan atas tujuan politik.

Ketua pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR menyokong usaha kerajaan bagi menangani keganasan kumpulan pelampau kerana ia memerlukan muafakat bersama.

“Nak pinda dan kuatkan (akta) boleh dan kita sokong, kerana militan perlu ditangani secara menyuluh.

“(Menjadi) kebimbangan saya akan jadi macam tahun 60-an, kita sokong ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan beri jaminan untuk digunakan kepada komunis dan militan yang angkat senjata, tetapi akhirnya akta itu disalahgunakan sehingga ramai menjadi mangsa termasuk orang politik,” katanya di Dewan Rakyat sebagai pembahas pertama mewakili pembangkang.

Najib sebelum itu membentangkan Kertas Putih bagi tujuan menangani ancaman keganasan IS dan membawa usul supaya Rang Undang-undang Akta Antikeganasan dibentangkan dan pemerkasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Pencegahan Jenayah dan Kanun Keseksaan.

Anwar berkata, pembentangan Kertas Putih di Parlimen adalah tradisi sihat dan harus diteruskan.

Beliau berkata, dalam isu IS, penjelasan teliti perlu dibuat berdasarkan hujah-hujah ulama dunia mengenai kumpulan pengganas yang menggunakan nama Islam sehingga berjaya menarik minat orang muda menyertai mereka.

“Kerajaan juga perlu berikan penjelasan mengenai konsep Maqasid Syariah yang dinyatakan dan menggunakan bahasa wacana yang jelas mengenai prinsip murni Islam dan keadilan,” katanya.

Anwar mengingatkan kerajaan supaya tidak mencontohi wacana digunakan Barat yang tiada tatakelola demokratik yang baik.

Tiada ulasan: