Prof Dr Azmi Hassan - Foto Bernama
SHAH ALAM – Keputusan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali melantik semula Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor disifatkan menongkah arus tindakan yang dilaksanakan bekas menteri besar sebelum ini.
Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, Azmin cuba membuktikan tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menutup pejabat Penasihat Ekonomi Selangor adalah sesuatu yang tidak wajar, malah ketua pembangkang itu masih relevan memegang posisi berkenaan.
“Lantikan semula ini menunjukkan Anwar masih berbisa, bagaimanapun Azmin perlu tegas dalam menjalankan pentadbiran negeri agar tidak mudah dipengaruhi.
“Tetapi Azmin tidak akan menjadi ‘remote control’, sebaliknya banyak keputusan membabitkan hal pembangunan Selangor akan mendapat tempias daripada Anwar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Azmi menambah, pelaburan luar negara mungkin tidak akan berubah namun diramalkan Anwar akan membantu merancakkan pembangunan infrastruktur.
“Sebab berdasarkan sejarah Anwar, beliau tidak banyak membantu menyuntik pelaburan besar ke Selangor. Malah keputusan Azmin kelak akan selari dengan hasrat penasihat ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat Azmin mengambil risiko besar kerana Anwar masih menanti keputusan Mahkamah Persekutuan yang menangguhkan tarikh lain keputusan rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
“Tindakan Azmin melantik semula Anwar dilihat sebagai menghargai hubungan akrab mentornya, bagaimanapun saya yakin beliau mempunyai rasional tersendiri.
“Umum maklum jawatan berkenaan tidak diperlukan memandangkan Anwar telah memegang banyak peranan lain, contohnya selaku ketua pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh. Ia dilihat membebankan beliau,” katanya.
Kelmarin, Azmin yakin Ketua Umum PKR itu mampu memainkan peranan penting dalam usaha menarik minat pelabur luar ke Selangor.
Katanya, Anwar boleh memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Selasa lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Shamsudin Lias sewaktu sesi perbahasan mencadangkan kerajaan negeri menutup terus pejabat Penasihat Ekonomi Selangor kerana dilihat hanya membazir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan