HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2014

Jangan sesekali bawa tuntutan Sabah Sarawak keluar daripada Malaysia

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan desakan supaya Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia, tegas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
 
"Yang pentingnya, jika mereka rasa ada hak tertentu, kita boleh berunding. Misalnya soal royalti, kuasa dan sebagainya. 
 
"Tetapi soal keluar daripada Malaysia, ia tidak boleh dikompromi. Kalau nak rundung hal lain, kita setuju. Tapi jangan bawa tuntutan keluar," katanya semasa mengadakan sidang media selepas Ucapan Penggulungan Himpunan Agung Umno 2014, petang tadi.
 
Najib terdahulu diminta mengulas gesaan seorang pemimpin parti komponen Barisan Nasional di Sarawak supaya kerajaan mendengar suara akar umbi di Sabah dan Sarawak yang mahu keluar dari Malaysia.
 
Akhir-akhir ini desakan supaya Sabah dan Sarawak dipisahkan daripada Malaysia semakin lantang kedengaran, ditambah dengan petisyen bagi mengumpulkan persetujuan para penyokong.
 
Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), merupakan satu kumpulan di laman sosial Facebook yang mendesak kajian semula dibuat terhadap Perjanjian Malaysia 1963. 
 
Pihak pendesak sebelum ini mendakwa kerajaan tidak memenuhi beberapa perkara di dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang membawa Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak membentuk kerajaan Persekutuan.
 
Seterusnya, mereka menuduh kerajaan gagal memberikan jumlah dana yang adik kepada kedua-dua negeri itu meskipun hampir kesemua keuntungan petroleum disalurkan kepada kerajaan pusat.
 
Mengikut perjanjian tersebut, Sabah dan Sarawak diberi lebih kuasa autonomi dalam hal kewangan, pendidikan, perkhidmatan awam dan hal ehwal agama.
 
Tidak itu sahaja, semenjak beberapa tahun ini kebencian di kalangan penduduk Sabah semakin memuncak setelah kerajaan didakwa memberikan kad pengenalan kepada masyarakat Islam Filipina dan Indonesia, sekaligus merubah struktur demografi negeri.
 
Di dalam sidang media yang sama, Najib menuntut agar perkara-perkara berkaitan agama Islam, bangsa Melayu dan kedudukan Raja-raja tidak lagi menjadi pertikaian selepas ini.
 
Meskipun sedar pengumuman untuk mengekalkan akta kontroversi itu menjadi tumpuan sepanjang PAU2014, namun beliau menafikan ia dilakukan disebabkan mendapat tekanan daripada pemimpin-pemimpin parti itu sendiri.
 
Tidak. Saya sentiasa beritahu bahawa Akta Hasutan menjamin orang Melayu, bukan Melayu, Islam dan bukan Islam. Ia akan melindungi semua. 
 
"Ini adalah perisai kita untuk tidak membiarkan konflik berlaku. Jika kita asyik persoal, menghina, pertikai dan perlekehkan hal-hal yang menjadi asas kepada orang Melayu, maka sudah tentu akan timbul ketegangan kaum di negara kita. Dan kita tahu apa kesan ketegangan kaum jika berlaku," tegasnya lagi.
 
Ketika merasmikan Perhimpunan Agong Umno Selasa lalu, Najib mengumumkan bahawa Akta Hasutan akan dikekal dan ditambah dengan peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam dan agama lain juga tidak boleh dihina.
 
Pindaan juga akan dibuat supaya supaya tindakan boleh diambil terhadap sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Tiada ulasan: