HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2014

BR1M: Beri Atau Tidak?


Oleh: MAT RODI
 
 




IA bergantung bagaimana anda melihatnya.

Tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang akan menolak pemberian percuma. Lagi-lagilah jika wang percuma. Sesiapa yang berbuat demikian mungkin sudah terlalu kaya ataupun kurang siuman.

Tidak ada juga kerajaan di dunia ini yang mahu dilabel sebagai kurang siuman kerana tidak memberikan apa-apa ‘bentuk pemberian’ kepada rakyatnya.

Sebagaimana subsidi-subsidi yang lain, BR1M juga mempunyai baik buruknya.

RM4.5 bilion setahun adalah jumlah yang banyak. Tidak lama lagi, jumlah ini akan menjadi RM9 bilion setahun. Jika penjimatan daripada program rasionalisasi subsidi lebih rendah daripada angka pemberian BR1M, kita boleh mengucapkan selamat tinggal kepada usaha untuk mengurangkan kadar defisit negara.

Persoalan timbul, apakah impak positif kepada ekonomi melalui pemberian BR1M?

Dengan RM4.5 bilion berlegar di dalam kitaran ekonomi, ia semestinya meningkatkan permintaan terhadap pasaran domestik. Orang ramai akan berbelanja lebih. Peniaga mendapat lebih keuntungan dan keuntungan tersebut akan dicukai oleh kerajaan.

Jadi secara asasnya kerajaan akan mendapat kembali wang BR1M tersebut. Ini jauh lebih baik daripada kerajaan memberikan subsidi kepada GLC yang kemudiannya menggunakan wang tersebut untuk membeli hartanah di London, misalnya.

TELUS LWN WAJAR

Selain daripada mengurangkan beban golongan susah, BR1M adalah pemberian yang telus. Lebih tujuh juta rakyat Malaysia menerima manfaat BR1M dan mustahil untuk kita katakan tujuh juta penerima ini adalah kroni kerajaan.

Dari segi politiknya, BR1M tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam membantu populariti kerajaan. Pembangkang yang sedar akan hal ini juga terpaksa mengakui kepentingan politik BR1M sehinggakan mereka hanya mampu berhujah 'ambil wang itu tetapi undi kami.

'Malangnya BR1M tidak benar-benar membantu dari segi undi semasa pilihan raya. Mungkin ia agak berkesan di kawasan-kawasan tertentu tetapi secara keseluruhannya BR1M tidak membantu parti pemerintah.

Apapun, tidak kiralah dari sudut politik atau ekonomi, pemberian wang tunai kepada rakyat tidak wajar diteruskan untuk jangka masa panjang.

Wang BR1M hanya boleh membawa kesan gandaan optimum apabila kurangnya pelaburan sektor swasta ke dalam ekonomi negara.

Kerajaan sebagai pelabur terbesar perlu berbelanja untuk merangsang ekonomi. Pemberian BR1M adalah salah satu cara menggalakkan perbelanjaan. Tetapi itu cerita semasa krisis ekonomi.

Jadi apabila seorang bekas perdana menteri menyuarakan kebimbangannya terhadap BR1M, beliau hanya menyatakan hakikat bahawa kita mempunyai sebuah kerajaan yang sedang menghadapi defisit dan memikul hutang yang besar.

PRO-INDUSTRI

Kita wajib memahami insan yang membuat kritikan ini adalah seorang lelaki pro-industri. Beri beliau RM800 juta, beliau akan mewujudkan sebuah industri automotif - bukan sahaja menghasilkan Proton, tetapi turut membangunkan sehingga rantaian nilai yang lengkap; vendor, alat ganti, reka bentuk, insurans dan lain-lain.

Bukan ingin mengagungkan beliau tetapi hakikatnya inilah insan yang telah menerajui industri minyak dan petroleum di Malaysia sehingga Petronas menjadi pemain utama O&G dunia dengan modal yang tidak sampai bajet BR1M setahun.

Dengan hanya beberapa bilion ringgit juga, sebuah koridor multimedia diwujudkan dan hari ini kita dapat saksikan beberapa syarikat multimedia yang telah berjaya dan juga animasi terkenal seperti ‘Upin & Ipin’ menjadi pemain utama industri tersebut.

Ini belum dicampur lagi dengan beberapa projek infrastruktur yang pada zaman beliau dianggap ‘gajah putih’ tetapi telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pendek kata, bagi seseorang seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau lebih gemar mewujudkan industri baru yang menghasilkan pekerjaan, meningkatkan pengetahuan dan teknologi yang mana pada akhirnya menyumbang kepada pendapatan kerajaan juga.

Hanya dengan melihat perkara-perkara ini kita dapat memahami mengapa beliau dan mungkin juga sebilangan besar insan pro-industri di Malaysia menyokong supaya pemberian BR1M dihentikan.
Sifirnya mudah - wang itu lebih baik dibelanjakan untuk sesuatu yang lain khususnya dalam mewujudkan sesuatu yang lebih bernilai.

Bayangkan apa yang boleh dihasilkan melalui RM 4.5 bilion. Kita boleh menaik taraf kesemua lapangan terbang di seluruh negara untuk mewujudkan beberapa hub tambang murah di utara, selatan, timur dan barat tanah air.

Kita juga boleh membiayai produser-produser Hollywood untuk membikin filem bertaraf blockbuster seperti Transformers, Lord Of The Ring dan Star Wars di Malaysia.

Kesemua ini hanyalah contoh. Tetapi ideanya adalah, ia jauh lebih bernilai daripada pemberian wang tunai kepada rakyat yang boleh dibelanjakan habis dalam tempoh 24 jam.

PERKETATKAN BR1M

Sebagaimana subsidi yang lain, BR1M lambat laun akan menjadi seperti candu yang mana akan menyebabkan ketagihan rakyat. Dan kita semua tahu apabila sudah ketagih, adalah amat sukar bagi kerajaan untuk menarik balik ‘candu’ ini.

Memberi itu mudah tetapi untuk mengambil kembali adalah ibarat membunuh diri. Jika pemansuhan 20 sen subsidi gula pun sudah boleh menyebabkan banyak masalah kepada kerajaan, bayangkan apakah wang RM1,200 BR1M boleh lakukan.

Kerajaan boleh menimbang untuk memberikan BR1M berdasarkan prestasi ekonomi negara. Mungkin dengan cara ini, ia memberi galakan kepada rakyat untuk meningkatkan produktiviti negara. Pada masa yang sama, kriteria penerima BR1M diperketatkan agar lebih kurang penerimanya.

Sesungguhnya kita tidak perlu mendabik dada dengan mengatakan lebih tujuh juta rakyat kita adalah penerima BR1M.

Bukankah dengan berkata begitu bermakna tujuh juta rakyat Malaysia sebenarnya tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi sehingga menyebabkan mereka perlu menerima wang BR1M?

Menaikkan pendapatan tujuh juta orang ini melalui pemberian wang tunai juga 'superficial'. Ini bukanlah perkara yang perlu dibanggakan.

> Mat Rodi atau Radzi Tajuddin, 24, adalah seorang graduan dalam bidang senibina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau adalah anak jati Selayang dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di Manchester School of Architecture. Beliau juga adalah seorang penulis bebas dan kolumnis mStar.

Tiada ulasan: