HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 November 2014

Cemburu faktor pembangkang serang 1MDB

 
Serangan ini bagi menggagalkan 1MDB dan jadi satu modal politik paling ampuh untuk mereka mengalahkan UMNO dalam PRU akan datang
1mdb300

KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Ab Aziz berkata pihak pembangkang yang cemburu dengan kejayaan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) menyerang bertubi-tubi dan cuba mematikannya.

Menurut Perwakilan UMNO dari Kelantan itu, baru-baru ini dua Ahli Parlimen daripada pembangkang cuba mewujudkan kekeliruan, fitnah dan membangkitkan kemarahan rakyat terhadap 1MDB.

Beliau mendakwa walaupun jahil dalam ekonomi tetapi pembangkang cuba menunjuk pandai dan menyerang 1MDB yang merupakan niat baik oleh kerajaan akan gagal.

“Apabila gagal, ia menjadi satu modal politik paling ampuh untuk mereka mengalahkan kita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agong UMNO di PWTC.

Ikmah Hashim berharap kita tidak terperangkap dengan politik jijik oleh pembangkang itu dan berkata “Jangan ada antara kita diam-diam turun semangkuk menyerang 1MDB”.

Jelasnya, 1MDB sebenarnya, ditubuhkan pada tahun 2009 dengan dua objektif, yang sangat baik untuk rakyat iaitu melalui perniagaan dan perkhidmatan sosial yang membawa keuntungan.

“Kedua, mempunyai yayasan melaksanakan program-program komuniti yang melibatkan pembangunan modal insan antaranya projek maju diri yang mewujudkan skim bantuan khas untuk anak-anak yang bersekolah di luar bandar, bantuan pendidikan dan ratusan lagi sumbangan sosial 1MDB setiap tahun.

“Saban tahun juga 1MDB membiayai hampir 1,000 orang pentadbir masjid imam dan surau dari seluruh negara mengerjakan ibadat haji. Ini semua dilakukan tanpa membabitkan dana awam atau wang-wang kerajaan sejak beberapa tahun lalu,” tambah Ikmah Hisham.

Katanya, kerja-kerja sosial ini sudah pasti dicemburui pembangkang. Atas sebab itulah mereka menyerang 1MDB dengan tujuan melingkupkan perniagaan syarikat ini dan akhirnya mematikan yayasan 1MDB.

“Laporan kewangan 1MDB berada dalam keadaan baik dan tidak mungkin akan jahanam dalam sekelip mata seperti digambarkan oleh pembangkang.

“1MDB hanya ditubuhkan lima tahun lalu dan memerlukan masa. Bagi mereka peluang. Untuk menjadi kuat dan mencatat keuntungan,” ujarnya.

Tambahnya, bagi sebuah syarikat yang bermula lima tahun lalu boleh menjana pendapatan RM3.3 bilion pada tahun 2013 merupakan kejayaan yang besar.

“Jumlah hutang, liabiliti 1MDB sebanyak RM41.9 bilion yang dikatakan sangat besar dan tidak munasabah. Malah, malang kita tidak pernah bertanya bagaimanakah bermodal RM1 juta kini boleh memiliki aset sebanyak RM51.4 bilion.

“Sudah tentulah pembelian aset ini melalui pinjaman. Adalah mustahil sebuah syarikat memodalkan RM1 juta , kita tak buat pinjaman. Orang ramai lebih mudah termakan momokan PR seperti hutang yang besar kerugian yang tinggi,” ujarnya

Tiada ulasan: