Grafik Sinar Online Grafik Sinar Online
 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran mempertimbang cadangan menggunakan Tanah Rizab Melayu untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi orang Melayu.

Menurut Pemuda Umno Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, langkah tersebut dicadangkan bertujuan membantu bangsa Melayu dari segi ekonomi dan sara diri.

"Kerajaan negeri lain perlu mencontohi pentadbiran kerajaan Johor atas kejayaannya meningkatkan peratusan tanah Rizab Melayu di negeri itu.

"Kita juga perlu segerakan penubuhan satu badan pentadbir khas Majlis Tanah Amanah Negara seperti yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda Johor, Hahasrin Hasyim," katanya dalam siri perbahasan "Ekonomi Orang Muda: Tongkat Sakti atau Kudis Buta" di hari terakhir Perhimpunan Agung Umno yang mengambil tempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Dalam pada itu beliau turut menyeru kerajaan untuk  mempertingkatkan keluasan dan pembangunan Tanah-tanah Rizab Melayu di negara ini.

"Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkeupayaan dalam menangani perkara ini.

"Proses pertukaran status tanah dan geran wajar dipercepatkan. Kadar premium tukaran status tanah juga boleh dikurangkan untuk menarik minat pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik," jelasnya.