HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2014

35,000 Rumah Selangorku sebelum 2018 realistik - Exco

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Jumlah 15,000 unit Rumah Mampu Milik atau Rumah Selangorku yang diumumkan oleh Menteri Besar semasa Ucapan Belanjawan adalah sasaran di bawah insentif yang diumumkan dan mesti dibina pada tahun 2015.

"Walau bagaimanapun seperti yang saya telah umumkan pada hari pertama sidang kali ini bahawa terdapat 15,529 unit Rumah Selangor yang sama ada telah dibina, sedang dibina atau telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)," ujar Iskandar Abdul Samad.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan negeri itu berkata sebanyak 5,473 unit dibina oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri dan 9,786 unit oleh pemaju swasta.

Selain dari itu, ujarnya kerajaan negeri terus menerima permohonan dari pemaju-pemaju untuk membina Rumah Selangorku.

"Malah jawapan saya pada hari pertama sidang dewan tidak melibatkan projek-projek yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada minggu lepas. Ia merangkumi 4,346 unit Rumah Selangorku," katanya lagi.

Ini, jelas beliau bermakna bilangan keseluruhan Rumah Selangorku yang diluluskan setakat ini adalah 19,865 unit.

Oleh yang demikian, katanya sasaran agar 35,000 unit mula dibina sebelum tahun 2018 adalah sesuatu sasaran yang realistik.

Walau bagaimanapun, tambah beliau perlu ada pemantauan agar projek-projek yang diluluskan oleh MMKN mendapat kebenaran merancang (KM) secepat mungkin.

"Untuk memastikan ini berlaku, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar sendiri," katanya.

Beliau menambah, ianya bertindak untuk membincangkan projek-projek Rumah Selangorku sebelum memasuki unit pusat setempat (OSC) di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelas Iskandar, PBT dan agensi-agensi yang terlibat akan dipanggil supaya apabila projek itu memasuki OSC, ia tidak mempunyai masalah untuk diluluskan.

Kerajaan negeri juga, kata beliau akan menghukum pemaju-pemaju yang mendapat kelulusan MMKN untuk membina Rumah Selangorku tetapi gagal membuat permohonan KM.

Tambahnya, tindakan menyenarai hitam (blacklist) akan dilaksanakan untuk pemaju-pemaju yang gagal. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: