HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 November 2014

PAU 2014: Puteri Yakin Barisan Semut Api Bakal Menyengat

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
 
 
 
SELEPAS diasak dengan pelbagai kritikan kononnya sayap paling bongsu ini gagal memainkan peranannya, Pergerakaan Puteri Umno mengambil sikap positif apabila melihat ia sebagai cabaran yang perlu dipikul oleh ahlinya di semua peringkat.

Meletakkan sasaran untuk mula menggunakan media sosial sebagai medium penting mendekati golongan wanita muda, Exco Puteri Umno, NORSABRINA MOHD NOOR yakin persepsi negatif pihak luar kepada mereka boleh diubah.

Ketika ditemui mStar Online, beliau yang juga Exco Kerajaan Kedah optimis bahawa Puteri Umno mampu menyumbang ke arah kemenangan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

S1: Apakah cabaran yang dihadapi oleh Puteri Umno?

J: Kami berdepan dengan 80 peratus Ketua Puteri Bahagian yang baharu. Ini adalah cabaran utama yang tak boleh dibezakan antara zaman pentadbiran Datuk Mas Ermieyati Samsudin dengan Datuk Seri Azalina Othman Said ketika mula-mula memimpin pergerakan ini.

Azalina bermula dengan kosong, tak ada benchmark atau standard. Sekarang sudah sampai era kepimpinan yang keempat. Jadi bukan mudah untuk kami tunjukkan kemampuan Puteri yang sebenar terutamanya apabila Ketua Puteri Bahagian adalah muka baharu.

Ditambah pula dengan cabaran pembangkang pada masa ini. Dahulu pembangkang tak ada platform wanita muda, mereka tak terancam dengan wanita muda. Tapi selepas sekian lama, mereka jadi terancam dengan wanita muda.

Sebab itu mereka betul-betul menyerang Puteri, mereka nampak kami ini sangat relevan. Ini kerana Puteri Umno sudah buktikan dalam beberapa pilihan raya bahawa kita dapat menarik sokongan pengundi muda.

Jadi serangan daripada pembangkang termasuk propaganda khususnya melalui media sosial hingga mencipta persepsi negatif kepada Puteri Umno adalah sebahagian daripada kekangan yang dihadapi Puteri Umno.

Selain itu masalah yang kita hadapi ialah berkaitan dengan keahlian. Ini bukan perkara baharu namun ia masih belum diselesaikan. Situasinya ialah ketika ini wanita muda berusia 18 hingga 35 tahun boleh memilih untuk mengganggotai Puteri atau Wanita. Kita tak mahu begitu.

Kita mahu siapa sahaja yang berusia 18 tahun, mereka akan terus mendaftar sebagai ahli Puteri dan selepas umur 35 tahun baru mereka masuk ke pergerakan Wanita.

Tapi selepas pengumuman Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuka pendaftaran secara online, ia memberi kelegaan kepada kami.

S2: Apa perancangan untuk mempromosikan Puteri Umno di kalangan wanita muda?

J: Kita akan bergerak seperti semut api, banyak, merata-rata, berkesan, berbisa dan juga kita akan sebarkan gerak kerja Puteri di semua peringkat.

Kita sasarkan semua pihak termasuk pelajar, suri rumah sehinggalah golongan profesional. Kita akan bergerak ikut cara semut api.

Kita juga akan gunakan platform media sosial untuk promosikan Puteri. Kita akan gunakan medium ini untuk mendekati mereka.

S3: Apakah tindakan serta perancangan segera Puteri Umno untuk gerakkan jentera yang dianggap lesu bagi menghadapi PRU-14?

J: Puteri menyambut baik gesaan ini. Langkah paling dekat yang akan diambil ialah dengan mengadakan rombakan dalam kepimpinan Puteri Umno.

Kita akan menyusun gerak kerja di semua peringkat bagi menghadapi PRU-14.

Puteri akan memberi fokus kepada keperluan dan kehendak orang muda. Dekati dan fahami harapan golongan wanita muda yang menjadi core business Puteri Umno.

S4: Selepas menerima pelbagai kritikan termasuk dianggap masih lemah berbanding sayap-sayap Umno yang lain, apa janji Puteri Umno selepas ini?

J: Kita janji akan mainkan dalam Umno untuk tarik seramai mungkin golongan muda untuk menyokong dan mengundi Barisan Nasional (BN).

Kita juga sedar mengenai apa yang dibangkitkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Umno menghadapi defisit kepercayaan, oleh itu Puteri akan berusaha untuk tarik dan bina semula kepercayaan pengundi muda.

Harus diingat, sasaran kita bukan sahaja untuk tarik pengundi di kalangan ahli, tapi juga kepada semua wanita muda di luar sana untuk menyokong Umno dan kerajaan BN.

Gerakan semut api tidak akan menyasarkan semua golongan muda. Kita tidak mahu fokus kepada ahli atau di kalangan kita sahaja, sebaliknya rakyat secara keseluruhannya.

Kajian kita menunjukkan bahawa orang muda kebanyakkan suka bebas tanpa terikat dengan mana-mana parti tertentu. Jadi golongan ini yang perlu kita dekati.

S5: Siapa warlord dalam Umno? Bagaimana nak kikis budaya yang dianggap tak baik kepada parti ini?

J: Sebenarnya isu warlord ini bergantung kepada tafsiran kita sendiri. Tak semestinya warlord ini berperanan untuk mengawal kuasa sahaja.

Mereka-mereka ini juga sebenarnya ada peranan...ada positif dan ada juga negatif.

Kadang-kadang kita kena bina empayar berdasarkan kepercayaan. Dalam Umno, kita adalah satu keluarga yang besar, jadi tidak salah berkongsi sesama kita.

Cuma mungkin ada yang mengambil kesempatan untuk membina kuasa, kekayaan daripada perhubungan itu. Itu yang memperlihatkan bahawa warlord itu terlalu berkuasa untuk kepentingan peribadi. Sikap seperti yang merosakkan parti.

Tiada ulasan: