Amali Munif Rahmat Amali Munif Rahmat
 
 
SHAH ALAM - Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya bertanggungjawab memandangkan sehingga kini tiada jalan terbaik untuk menyelesaikan isu harga baharu tambang bas sekolah.

Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata, sehingga hari ini, pihaknya masih belum mendapat harga tambang bas yang diputuskan melalui rundingan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah.

“Kami sudah mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah dan PIBG. Malangnya, tiada satu ketetapan harga yang dicapai hasil perbincangan tersebut.

"Keadaan operasi bas sekolah akan lebih perit selepas kerajaan mengumumkan tiada lagi pemberian subsidi untuk diesel selepas memutuskan untuk menggunakan kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, sebelum ini pengusaha bas membeli diesel dengan harga RM1.88 apabila kerajaan memberikan subsidi.

“Apa nasib kami selepas ini. Kami terkapai-kapai tanpa sebarang petunjuk dan panduan daripada mana-mana pihak.

"Perkara ini bertambah buruk selepas pengumuman yang dibuat oleh kerajaan kerana kadar tambang bas sekolah tidak lagi fleksibel,” katanya.

Amali Munif turut berkata, PPPBSM akan mengikut harga pasaran diesel dunia dan jika harga naik, pihaknya mungkin perlu menaikkan tambang bas sekolah untuk menampung kenaikan ini.

“Masalahnya, sekiranya kita menaikkan tambang bas sekolah, nanti SPAD dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan ambil tindakan kepada kami sekiranya kami menaikkan dan menetapkan tambang sesuka hati. Jadi, bagaimana masalah ini boleh diselesaikan,” katanya.

Beliau menjelaskan, MyCC sudah mengambil tindakan ke atas beberapa pengusaha bas kerana menetapkan harga tambang bas sekolah yang begitu tinggi.

Beliau berkata, kadar tambang asas bas sekolah di bandar yang diguna pakai sebelum ini diwartakan di bawah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pada 2009 iaitu RM27.43 bagi satu kilometer pertama dan RM2.02 setiap kilometer seterusnya.

“Kadar itu sudah tidak relevan berikutan kenaikan harga minyak dan peningkatan kos operasi. Malah, harga itu juga tidak boleh diguna pakai lagi kerana SPAD mahukan harga rundingan antara pengusaha bas dan ibu bapa.

"SPAD menetapkan harga minimum dan maksimum kadar tambang bas untuk dijadikan rujukan kepada operator bas bagi menetapkan caj tambang bas selepas ini," katanya.