HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 November 2014

Peluang kepada pemimpin muda bukan sekadar perbincangan tahunan, kata Fathul Bari

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno menggesa janji kepimpinan parti untuk membuka ruang kepada golongan muda tidak sekadar retorik semata-mata.
 
Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, kegagalan kepimpinan parti berbuat demikian akan menyebabkan Umno terus berada di takuk lama.
 
"Ruang yang perlu diberikan daripada pemimpin atasan kepada golongan muda perlu dilihat dan dizahirkan. Bukan sekadar perbincangan tahunan semata-mata. Ia kena buktikan dalam kabinet, dalam kementerian, GLC dan kepimpinan parti itu sendiri.
 
"Sekarang baru berapa peratus sahaja, jika nak dibandingkan antara BN dan pembangkang, tak sampai 10 peratus. Hanya tujuh peratus sahaja wakil rakyat BN yang usinya bawah 40 tahun. Maka hal seperti ini perlu kita muhasabah untuk kita berubah," katanya ketika ditemui Antarapos, baru-baru ini.
 
Semalam, ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Pemuda Umno, Ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu parti itu 'mencontohi' parti-parti pembangkang yang sentiasa memberi ruang kepada golongan muda menjadi pemimpin.
 
Seiring dengan peredaran zaman, pucuk pimpinan parti perlu memikirkan strategi itu sebagai salah satu proses peremajaan Umno.
 
Sebagaimana Datuk Seri Rais Yatim, Tan Sri Shahril Samad, Tan Sri Rahim Tamby Chik  dan Tan Sri Isa Samad yang pernah diberi peluang sebagai menteri kabinet, menteri besar dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) ketika berusia 30-an, maka hal yang sama perlu dilakukan pimpinan masa kini.
 
Buat masa kini, hanya Khairy seorang daripada golongan berusia 30-an dilantik sebagai menteri kabinet.
 
Beliau menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

Tiada ulasan: