KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyifatkan Akta 750 yang dilulus di parlimen beberapa bulan lepas bertujuan merampas hak wilayah kepunyaaan negeri-negeri.
Ia juga termasuk hasil maksul khususnya gas dan petroleum.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sebelum akta itu dibentang di parlimen ia sepatutnya terlebih perlu mendapat pandangan negeri yang terlibat dan Raja-Raja Melayu.
“Ini adalah peruntukkan dalam perlembagaan yang melibatkan sempadan negeri-negeri. Maka negeri tersebut kena turut dilibatkan dan disertai sama Raja-Raja Melayu,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, semalam.
Sebelum ini Kerajaan Persekutuan membentang Rang Undang-Undang Laut Wilayah Malaysia 2012. Akta itu membawa maksud setiap negeri di Malaysia wajib menyerahkan Pelantar Benua kepada Kerajaan Persekutuan.
Selain itu had perairan wilayah setiap negeri hanya 3 batu nautika.Rang Undang-undang itu dilulus tanpa banyak perdebatan ahli-ahli Parlimen.
Tindakan kerajaan persekutuan tersebut disifatkan tanpa melalui proses yang betul kerana tanah adalah hak negeri seperti terkandung dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.
Fadzli berkata, kelulusan Akta 750 secara tidak langsung cuba untuk menafikan tuntutan royalti gas dan petroleum yang dituntut kerajaan Kelantan.
Sehubungan itu katanya, mesyuarat Exco mewujudkan Jawatankuasa Khas Bertindak Akta 750 bagi mengambil langkah-langkah perlu dalam menuntut royalti minyak. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan