shahbudindotcom
Kumpulan
kanan dalam UMNO dan masyarakat yang gembira dengan pengekalan Akta
Hasutan tidak akan berhenti setakat ini saja. Mereka kini bakal
menumpukan tekanan agar Najib mengembalikan semula ISA dan Ordinan
Darurat yang sudah dimansuhkannya sebelum ini.
Kejayaan
menekan Najib sehingga Akta Hasutan tidak jadi dimansuhkan adalah
kejayaan bagi kumpulan ini dan sekaligus merupakan "lesen besar" untuk
mereka melakukan gugatan yang seterusnya.
Berbanding
Akta Hasutan, lebih ramai golongan kanan ini berpendapat bahawa
menghapuskan ISA adalah salah satu tindakan "paling bodoh" yang
dilakukan Najib selaku ketua sebuah kerajaan.
Jelas
bahawa mereka ini belum cukup puas hati selagi ISA dan Ordinan Darurat
tidak dikembalikan sama. Mereka hanya benar-benar gembira dan puas hati
dengan kepimpinan Najib jika beliau sanggup memulihkan semula semua
akta-akta tersebut.
Ini
sekali lagi merupakan tekanan yang berterusan kepada Najib kerana
sementara beliau terus ditekan oleh kumpulan kanan yang "mahu paha
setelah mendapat betis", sebaliknya golongan liberal dan pejuang
kebebasan pula mahukannya komited dengan janji-janji pembaharuan dan
keterbukaan yang selalu dilaung-laungkannya.
Golongan
liberal dan pro hak asasi yang turut disokong oleh pembangkang tidak
menunggu lama untuk menyerang dan mengecam Najib sebagai seorang yang
mungkir janji setelah Akta Hasutan ini diumum untuk terus dikekalkan.
Golongan
ini bukan saja berikrar akan terus berjuang ke arah penghapusan Akta
Hasutan, malah mulai melabelkan Najib sebagai pemimpin yang tidak boleh
dipercayai, mungkir janji serta mudah mengalah kepada tekanan. Najib
juga diperingatkan bahawa janji adalah suatu komitmen.
Dianggap
sebagai janji terbesar kepada rakyat yang dimungkirinya ialah
membatalkan pemansuhan Akta Hasutan, rakyat juga tentunya tidak lupa
dengan beberapa janji Najib seperti tidak menaikkan harga minyak dan
ikrar lebih mendengar keluhan rakyat bawahan, turut juga dimungkirinya
sebelum ini.
Dengan
ini, bersama banyak janji lain yang tidak ditepati serta janji
berkaitan pemansuhan Akta Hasutan, ianya bakal memberi kesan besar
kepada sokongan BN dalam pilihanraya akan datang, terutamanya daripada
pengundi bukan Melayu dan mereka yang tinggal di bandar atau separa
bandar.
Di
kelompok yang lain, Najib kini mula dilihat sebagai pemimpin yang
paling lemah, mudah mengalah dan tidak kukuh pendiriannya. Beliau juga
dilihat sebagai pemimpin yang tidak memikir dengan mendalam sebelum
mengumumkan sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan
negara.
Ramai
yang menganggap keputusan Najib mengekalkan Akta Hasutan ini
semata-mata untuk kepentingan diri dan masa depannya yang semakin kelam
dalam UMNO. Beliau dikatakan hanya ingin meredakan kemarahan dalam
partinya sendiri yang ternyata masih kuat dengan aliran kanan dan
konservatif.
Tambahan
pula, sebaik Akta Hasutan terus dikekalkan, Dewan Merdeka di mana
sedang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO ketika ini terus bergema
dengan ucapan banyak jurucakap yang terus menyentuh isu-isu kaum dengan
menyerang pihak lain yang dianggap cuba mengancam dan menggugat mereka.
Tanpa
menyedari bahawa Dewan Merdeka bukanlah Parlimen ataupun Dewan Undangan
Negeri yang memberikan kekebalan untuk bercakap apa saja, ramai
jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO seakan terlupa hakikat ini.
Banyak nada rasis, perkauman, serangan dan sentuhan hal-hal sensitif
melibatkan kaum lain dapat didengar dalam perhimpunan kali ini.
Sebagai
meraikan kejayaan mengekalkan Akta Hasutan, lebih ramai yang tampil
mahu menjadi juara bangsa pada perhimpunan kali ini kerana menganggapnya
suatu kejayaan bagi mereka.
Untuk
membuktikan bahawa Akta Hasutan dikekalkan tidak semata-mata untuk
kepentingan dirinya atau UMNO, sesuatu yang harus Najib buktikan ialah
berani mengenakan dakwaan di bawah akta tersebut keatas mana-mana
jurucakap Perhimpunan Agung UMNO kali ini yang didapati melampau dari
segi menyentuh isu berkaitan kaum, bangsa atau agama lain.
Jurucakap-jurucakap
ini hakikatnya tidak kebal sama-sekali sepertimana wakil-rakyat di
Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bercakap dan berhujah. Dewan Merdeka
PWTC bukanlah Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang mempunyai
kekebalan dan melindungi sesiapa daripada bercakap apa saja. Najib
tidak harus "double standard" kerana akta ini seharusnya dilaksanakan
secara adil dan menyeluruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan