Dr Awaludin Said Dr Awaludin Said
 
 
KUALA LUMPUR - [VIDEO] Usaha kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 tidak akan membawa sebarang makna jika undang-undang itu tidak dilaksana dan dikuatkuasakan dengan segera.

Perwakilan Umno Bahagian Rembau, Negeri Sembilan, Datuk Dr Awaludin Said berkata, beliau khuatir akta itu hanya tinggal kepada nama sahaja tanpa kesungguhan kerajaan untuk menggunakan sepenuhnya.

"Kita amat berbangga dengan tindakan Presiden yang begitu berani mengambil langkah untuk mengekalkan Akta Hasutan ini, mudah-mudahan rakyat dan negara aman dan sentosa, tetapi janganlah Akta Hasutan tinggal Akta Hasutan sahaja, tanpa ada penguat kuasa.

"Umno Negeri Sembilan menyatakan bahawa mengekalkan akta itu penting tetapi yang lebih penting ialah penguatkuasaan.

"Tolonglah Presiden, penguatkuasaan amat penting, tidak guna kita mengekalkan akta tapi penguatkuasaan tidak dapat dilaksanakan," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Agung Umno 2014, di PWTC, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kerajaan yang mahu mengekalkan Akta Hasutan 1948 yang diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung Umno 2014, semalam.

Akta Hasutan bukan sahaja dikekalkan malah beberapa penambahbaikan akan dilakukan termasuk memasukkan dua perkara baharu.

Antaranya ialah melindungi kesucian Islam dan larangan menghina agama lain serta mengenakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Persekutuan Malaysia.

Sementara itu, pembahas Negeri Sembilan itu juga menggesa Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu diperkasakan jika mahu mengekalkan survival parti itu.

"Kita mahu menang PRU14, dari 36 Dun Negeri Sembilan, 22 kerusi akan ditandingi Umno, kami berazam mahu kesemuanya kami menanginya.

"Untuk memenanginya, kami ingin memperkasakan PDM, Umno perlu beri bantuan kerana dalam PDM itu sendiri adalah ahli Umno, rugi kalau tidak bantu," katanya lagi.