Anggota Parlimen Belia Pulau Pinang 2014
telah membuat penilaian terhadap prestasi 26 ADUN semasa sesi sidang
Dewan Undangan Negeri (DUN) itu baru-baru ini.
Prestasi 16 ADUN penyokong kerajaan negeri dan 10 ADUN pembangkang yang semuanya dari Umno, dinilai dari 7 hingga 14 November.
'Prestasi' mereka dinilai berdasarkan empat kriteria - kualiti
perbahasan, nilai pandangan, cadangan, (untuk menangani masalah) dan
etika profesional.
Menurut laporan itu, ADUN yang menduduki tiga tempat teratas ialah Muhammad Farid Saad (Umno-Pulau Betong)(kanan), RSN Rayer (DAP-Seri Delima) dan Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga).
Manakala Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid (Umno-Telok Ayer Tawar) yang terendah.
Sementara itu, ADUN yang paling banyak
tidak hadiri sidang dewan (16 sesi) ialah Roslan Saidin (Umno-Pinang
Tunggal - 9 sesi), diikuti Nordin Ahmad (Umno-Bayan Lepas - 8 sesi), dan
Lydia Ong Kok Fooi (DAP-Berapit - 6 sesi).
Ketua Menteri Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) pula tidak hadiri empat sesi
sepanjang prosiding, manakala Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid tidak
hadir satu sesi.
Mengenai jumlah soalan yang dikemukakan kepada speaker, A Thanasekharan
(DAP-Bagan Dalam) tidak mengemukakan sebarang soalan bertulis manakala
10 daripada 16 ADUN yang dinilai, mengemukakan jumlah maksimum soalan,
iaitu 30.
Mengenai tempoh masa perbahasan pula, Rayer paling lama bercakap (1 jam
dan 57 minit), diikuti Jahara (1 jam 37 minit), Muhammad Farid (1 jam 35
minit), Teh Yee Cheu (1 jam 28 minit) dan Wong Hon Wai (1 jam 25
minit).
Bagaimanapun, para penilai berkata panjang masa perbahasan di Dewan tidak mencerminkan kualiti prestasi ADUN.
Penyelaras pasukan penilaian, Chin How Zet (kiri) berkata, idea untuk
membuat penilaian tersebut adalah berdasarkan kepada kerja-kerja Taiwan
Citizen Congress Watch.
Chin berkata inisiatif baru itu adalah untuk melibatkan orang awam dalam meningkatkan kualiti dan prestasi ADUN di sidang dewan.
Bagaimanapun, katanya, penilaian itu hanya berdasarkan kepada
pemerhatian ke atas 16 responden yang mengikut rapat prosiding Dewan.
Bercakap dalam sidang media hari ini untuk mengumumkan keputusan
penilaian tersebut, Chin berkata, proses penilaian hanya berdasarkan
prestasi ADUN berkenaan sepanjang tempoh lima hari.
"Kami menyedari bahawa tempoh tersebut adalah terlalu pendek," tambahnya.
Chin berkata pasukan itu telah membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah
NGO bernama 'Penang Citizen Asembly Watch' dan menggesa wartawan untuk
menyertai usaha menilai ADUN pada setiap sidang DUN.
Mulai sekarang, orang ramai boleh berkongsi pandangan mereka mengenai perkara ini di @pantauDUNPP dan laman Facebook 'Pemantau Dun Rakyat Pulau Pinang'.
Penyelaras Suaram Pulau Pinang, Ong Jing Cheng (kanan) mengakui terdapat
beberapa batasan dalam proses penilaian itu, termasuk keupayaan penilai
dan pemahaman mereka tentang peranan penyokong kerajaan dan ahli
politik.
Beliau berkata penilaian terhadap prestasi ADUN berkenaan adalah
berdasarkan persepsi penilai yang datang dari pelbagai latar belakang,
yang berumur antara 18 dan 52 tahun.
"Politik adalah berdasarkan kepada persepsi awam tetapi penilaian harus
terbuka kepada semua, malah mereka dari parti-parti politik.
"Kami akan memperbaiki proses penilaian kami pada masa akan datang.
"Kami akan menganjurkan forum untuk memberi pemahaman yang lebih baik
kepada orang ramai mengenai sistem Westminster, fungsi Dewan Undangan
Negeri, peranan pembangkang dan penyokong kerajaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan