HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 November 2014

Isu yuran jeti berlarutan ke mahkamah

 
Pemilik bot-bot memancing tidak pernah menandatangani apa-apa kontrak dengan syarikat tersebut dan mereka tidak tahu untuk apa sebenarnya yuran

Nelayan


KOTA KINABALU: Kemelut yuran pendaratan bot nelayan di Kota Kinabalu semakin kusut apabila pihak berkepentingaan terus bertelagah.

Dalam perkembangan terbaru, Persatuan Pemilik-pemilik Bot Penangkap Ikan Kota Kinabalu (KKFBOA) akan memfailkan injunksi di mahkamah pada Isnin ini.

Presidennya, Simon Hong berkata, tindakan mahkamah itu dibuat bagi menghalang syarikat pemegang konsesi yuran, Sejahtera Bumimas daripada mengutip bayaran pendaratan bot-bot nelayan.

Jelasnya, pemilik bot-bot memancing tidak pernah menandatangani apa-apa kontrak dengan syarikat tersebut dan mereka tidak tahu untuk apa sebenarnya yuran-yuran tersebut dan apakah perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat tersebut.

“Kami tidak pernah mencapai persetujuan tentang yuran-yuran tetapi Sejahtera Bumimas menyimpan rekod mereka sendiri. Kami bingung dari mana hutang kami berasal,” kata Hong dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengurus Keselamatan Sejahtera Bumimas, Billy Koh, berkata bahawa hampir 100 peratus ahli persatuan tidak pernah membuat sebarang pembayaran kepada syarikat sejak Disember 2013.

Beliau mendakwa, syarikat telah mengemukakan senarai yuran jeti yang baru kepada KKFBOA tetapi sehingga sekarang tidak menerima maklum balas daripada persatuan.

Hong pula mendakwa, yuran yang dikenakan ke atas nelayan sentiasa berubah dari masa ke semasa dan ahli-ahli persatuan bingung akan mana satu yuran yang perlu dibayar.

Menurut beliau, KKFBOA sudah merundingkan yuran jeti dengan pengerusi Sejahtera Bumimas sebanyak tiga kali sejak tahun lepas tetapi gagal mencapai persetujuan.

Sebelum Sejahtera Bumimas mengambil alih, syarikat terdahulu, Safma cuma mengenakan yuran borong sahaja dan tiada yuran pendaratan atau yuran bakul.

Tiada ulasan: