Bagaimana pada tahun 2014 ia menjadi releven
pula? Akta Hasutan mempunyai tahap pembuktian yang rendah dan terdedah
kepada salah guna
PARIT BUNTAR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai seorang yang tidak mempunyai pendirian dan memungkir janjinya sendiri berhubung isu Akta Hasutan 1948.
Beliau turut mempertikai tindakan Perdana Menteri menarik balik pemansuhan akta itu yang seolah-olah tunduk kepada golongan pelampau dalam UMNO.
“Ternyata dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri ini membuktikan beliau adalah seorang tidak mempunyai pendirian tetap dan telah mungkir janji untuk memansuhkan Akta Hasutan yang telah diikrarkannya sebelum ini,” katanya.
Mohd Najib semasa menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2014 mengumumkan bahawa Akta Hasutan akan dikekalkan dengan memasukkan dua peruntukan baru berkaitan agama serta kedudukan Sabah dan Sarawak, pengumuman yang mencetuskan rasa tidak puas hati pakatan pembangkang.
Ahli Parlimen PAS-Parit Buntar itu berkata, Presiden Umno dalam ucapannya telah mengirimkan isyarat yang salah bahawa undang-undang penjajah perlu dikekalkan sedangkan suasana hari ini menuntut undang-undang negara lebih releven dan menepati zaman.
Katanya, Mohd Najib sendiri membuat pengumuman pada 11 Julai 2012 akan memansuhkan Akta Hasutan untuk digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional dengan alasan ia tidak relevan.
“Bagaimana pada tahun 2014 ia menjadi releven pula?” kata Dr Mujahid yang menambah, ”Secara substantif, Akta Hasutan mempunyai tahap pembuktian yang rendah dan terdedah kepada salah guna kepada maksud menghasut dan mengancam sedangkan akta baru yang dicadangkan mengetatkan tahap pembuktian dan bagi memelihara pada waktu yang sama kebebasan bersuara.”
Beliau memberitahu, PAS dalam muktamarnya telah meluluskan pemansuhan Akta Hasutan untuk digantikan dengan undang-undang yang lebih baik bagi memelihara keharmonian nasional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan