HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 November 2014

Telus perlu jadi asas utama penstrukturan semula MAS

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata, prinsip ketelusan harus menjadi asas utama dalam penstrukturan semula Malaysia Airlines System (MAS) bagi memastikan ia mampu menamatkan kerugian.

Kelmarin, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Malaysia Airlines System Berhad (Pentadbiran) 2014 bagi melaksanakan penstrukturan semula syarikat itu.

RUU itu antaranya memberi kuasa meluas kepada pentadbiran baru atau ‘NewCo’ yang akan menggantikan MAS.

Mengulas isu itu kata beliau, kerajaan antaranya perlu membentangkan terma penstrukturan kewangannya kepada rakyat.

“Oleh kerana kedua-dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar mengatakan suntikan kewangan RM6 bilion dari kerajaan bukan ‘bail out’, namun terma penstrukturan kewangannya perlu dibentangkan.

“Contohnya pembayaran MAS kepada tiga syarikat; Assets Global Network Sdn Bhd, Penerbangan Malaysia Berhad dan Turus Pesawat Sdn Bhd yang berperanan membeli aset (kapal terbang dan bangunan) dan menyewanya kembali kepada MAS,” katanya dipetik Roketkini.

Ketiga-tiga syarikat itu menanggung hutang terkumpul berjumlah RM12.1 bilion yang dijamin kerajaan.

“Sebarang perubahan pembayaran oleh ‘NewCo’ akan memberi kesan kepada kewangan kerajaan, maka kerajaan perlu telus dan memaklumkan terma itu kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, ujar beliau lagi, pentadbiran baru juga perlu memastikan rundingan semula terhadap kontrak sebelumnya diadakan dengan adil dan saksama.

Tiada ulasan: