Perhimpunan Agung Umno (PAU) patut berhenti mencipta pembohongan demi menimbulkan kebencian agama dan kaum terhadap orang bukan Melayu dan bukanIslam, tetapi sepatutnya memberi tumpuan kepada kesusahan ekonomi yang melanda rakyat Malaysia dan berbahas tentang bagaimana Jho Low seorang pemuda Malaysia boleh menjadi begitu kaya sehingga boleh menderma sebanyak AS$25 juta kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Reuters melaporkan Jho Low, seorang dermawan yang menetap di Hong Kong akan memberikan pelaburan selama 15 tahun bernilai AS$25 juta (RM83.7 juta) kepada PBB untuk memperluas perkhidmatan berita kemanusiaannya, Integrated Regional Information Nerworks (Irin) sebagai sebuah yayasan bebas berpengkalan di Switzerland.
Kenapa tidak ada pun persoalan dibangkitkan tentang bagaimana seorang hartawan Malaysia tidak pula memberi perhatian kepada soal kebajikan di negaranya sendiri? Adakah sikap bisu perhimpunan Umno ini berikutan anggapan Jho Low adalah kebal disebabkan kaitannya dengan orang atasan Umno serta syarikat 1MDB yang penuh kontroversi?
Tidak ada keutamaan pun diberikan kepada nasib rakyat kelas menengah Malaysia yang miskin menderita akibat kesan negatif kenaikan bersiri harga-harga gula, petrol, premium insurans kenderaan dan tarif elektrik.
Pada masa yang sama, Malaysia menjadi sebuah negara penghutang dengan kadar hutang kerajaan persekutuan meningkat lebih 100% daripada RM266 bilion di penghujung 2007 sehingga menjadi RM570 bilion pada pertengahan Jun 2014, sementara hutang isi rumah kita adalah kedua tertinggi di Asia pada kadar 87% berbanding KDNK, menjadikan kos sara hidup satu lagi masalah yang semakin meruncing bagi kumpulan berpendapatan rendah.
Sebaliknya, Umno menyebarkan pembohongan terhadap DAP dan juga kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya DAP membeli tanah di Balik Pulau, tidak kira betapa mahal sekalipun demi menghalau orang Melayu. Ini adalah suatu penipuan kerana DAP tidak membeli walau satu inci pun tanah Balik Pulau. DAP hanya membeli bangunan ibu pejabatnya di Ranggon Road di George Town.
DAP dan saya sendiri dituduh kononnya cuba menghalau orang Melayu dengan membeli tanah mereka untuk dibina perumahan mahal dan membina penempatan orang Melayu di Seberang Perai, yang mengakibatkan penurunan populasi Melayu di Pulau Pinang daripada 41% menjadi 40% pada 2013. Ini adalah tidak benar kerana populasi orang Melayu sebenarnya bertambah.
Umno sendiri boleh memeriksa data-data Jabatan Statistik kerajaan persekutuan.
Pemimpin Umno sendirilah yang mengkhianati orang Melayu dengan menjual tanah-tanah orang Melayu demi keuntungan.
Mereka yang membeli tanah orang Melayu dan menjualnya kepada pihak ketiga bukanlah DAP tetapi pemimpin Umno Pulau Pinang. Pemimpin Umno yang mengkhianati orang Melayu dengan menjual tanah mereka demi keuntungan.
Ini jelas dapat dilihat dalam pembelian 10 ekar tanah orang Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau pada 31 Januari 2012 untuk RM8.6 juta daripada 31 pemilik tanah Melayu oleh Maison Height Sdn Bhd. Tiga setengah bulan kemudian, pada 16 Mei 2012, tanah yang sama dijual demi keuntungan sebanyak RM5 juta pada harga RM13.5 juta kepada pihak ketiga.
Maison Heights Sdn Bhd dimiliki Ketua Bahagian Umno Bukit Mertajaman Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Bahagian Umno Bukit Gelugor Datuk Omar Faudzar. Daripada mengecam kedua-dua pemimpin Umno Pulau Pinang ini kerana mendapatkan keuntungan daripada penjualan tanah orang Melayu di Balik Pulau, saya pula dipersalahkan walaupun saya tidak mendapat walau sesen pun.
Sikap hipokrit Umno ini diteruskan dengan menyalahkan kerajaan negeri kerana membina perumahan mahal, walaupun kerajaan negeri mengikuti garis panduan kerajaan persekutuan untuk membina rumah yang kosnya antara RM42,000 hingga RM400,000.
Kenapa perwakilan Umno tidak mengecam agensi kerajaan persekutuan seperti Perda yang melanggar garis panduan kerajaan persekutuan dengan membina rumah mewah bernilai RM1.85 juta, empat kali ganda daripada harga RM400,000 yang dibenarkan?
Sekali lagi Umno menipu dengan mendakwa walaupun 70% kontrak kerajaan negeri diberikan kepada kontraktor Melayu melalui tender tebuka, kononnya nilai kontrak-kontrak ini adalah lebih rendah.
Sebenarnya nilai kontrak-kontrak ini adalah jauh lebih tinggi dan bernilai hampir 90% daripada jumlah kesemua kontrak kerajaan negeri apabila projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion dianugerahkan secara tender terbuka kepada sebuah konsortium yang diketuai orang Melayu.
Jelas sekali, kontraktor Melayu biasa boleh bersaing – hanya kontraktor Umno sahaja yang tidak boleh bersaing dan memenangi kontrak melalui tender terbuka.
Apa yang lebih merunsingkan lagi ialah bekas Timbalan Menteri Dr Mashitar Ibrahim turut membangkitkan isu sensitif dengan mendakwa kononnya orang Cina di Kuala Kedah membakar al-Quran, sehelai demi sehelai sewaktu satu ritual sembahyang.
Pihak polis menyatakan perkara ini dilakukan oleh seorang individu yang dihantar untuk pemeriksaan mental. Pun begitu Mashitah masih mendakwa tindakan membakar al-Quran ini dilakukan bukan oleh individu tetapi oleh komuniti Cina di sana.
Ini adalah satu dakwaan yang sangat berbahaya dan mesti disiasat secara menyeluruh. Jika benar, tindakan tegas mesti diambil terhadap pelaku. Tetapi sekiranya ini tidak benar, maka Mashitah wajar didakwa di mahkamah kerana membangkitkan isu palsu yang boleh mengakibatkan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian agama.
Dakwaan liar sebegini sudah tidak lagi menghiburkan, malah sangat merbahaya kepada fabrik sosial masyarakat kita yang berbilang kaum. Tindakan membuli orang bukan Melayu dan bukan Islam serta menggunakan retorik kaum dan agama bukanlah alternatif kepada urus tadbir baik yang boleh memperbaiki kehidupan 28 juta rakyat biasa di Malaysia. –
* Penulis adalah ketua menteri Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan