KUALA LUMPUR - Kegagalan pengurusan syarikat penerbangan negara,
Malaysia Airline System Berhad (MAS) terdahulu mengenal pasti keperluan
jumlah tenaga kerjanya antara punca lambakan kakitangannya pada masa
ini.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar menegaskan isu lebihan
kakitangan MAS sehingga terpaksa diberhentikan adalah bukti kelemahan
pentadbirannya dan tidak wajar menyalahkan pekerjanya.
"MAS adalah syarikat GLC yang paling ramai pengurusnya, yang salahnya
bukan pekerja, yang salah ialah bagaimana kamu mewujudkan struktur
seperti itu sedangkan syarikat lain tiada mempunyai pengurus yang begitu
ramai dalam syarikat mereka.
"Kalau dikatakan isunya lebihan kakitangan, bukan salah kepada kakitangan, salahnya kamu buat apa ambil (pekerja).
"Sepatutnya kamu kena melihat berapa jumlah keperluan yang sebenar,
sekarang menunjukkan bahawa peneraju Mas sebelum ini gagal untuk melihat
apa keperluan tenaga manusia dalaman atau tenaga kerja," katanya kepada
Sinar Online di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kesatuan Kebangsaan
Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) bahawa MAS dan Khazanah Nasional
Berhad tidak sepatutnya menyalahkan kakitangan mereka ekoran kerugian
syarikat penerbangan itu.
Sebaliknya kata kesatuan itu, Khazanah harus mengakui berlakunya salah urus dalam syarikat penerbangan nasional itu.
Nufam juga menggesa Khazanah membatalkan rancangan untuk memberhentikan 6,000 kakitangan MAS.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata lagi, Pas juga menyokong penuh gesaan
bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman supaya
kerajaan mendedahkan siapa yang merosakkan syarikat itu kepada umum.
"Apa yang disebut oleh Tan Sri Aziz bahawa orang yang merosakkan MAS itu perlu dicari, siapa dia.
"Tidak adil orang yang merosakkan MAS itu tidak ditemui, tiba-tiba yang dihukum adalah pekerja," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan