HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Disember 2014

Bernama TV Terus Tenat, Mana Janji Shabery Cheek?

shahbudindotcom


Janji Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek untuk melakukan pembaharuan di Bernama TV menjelang awal tahun 2015, masih tidak menampakkan sebarang tanda positif sehingga ini.

Tidak dapat dipastikan sama ada rancangan yang diumumkan oleh Shabery Cheek sebelum ini untuk menukar Bernama TV menjadi saluran berita bahasa Inggeris sepenuhnya akan menjadi kenyataan atau sebaliknya.

Ketika ini bukan saja tiada tanda-tanda ke arah itu sedang dilakukan, malah kedudukan gaji sebahagian kakitangan yang belum dibayar sejak Oktober, masih juga kabur bila akan dilunaskan.

Ada kakitangan yang tertunggak gajinya sejak Oktober manakala ada juga yang tidak dibayar sejak November. Menjelang musim persekolahan yang bakal bermula beberapa minggu saja lagi, tidak diketahui sama ada masih terdapat cahaya di hujung terowong atau sebaliknya yang muncul nanti adalah rempuhan kepala keretapi yang datang tanpa belas kasihan menimpa semua kakitangan bernasib malang itu.

Disebabkan tidak mampu membayar elaun kepada penyampai senior seperti Sharkawi Jirim dan Dahlan Maamor, Bernama TV kini hanya mengulang-ulang program lama Ruang Bicara yang dihostkan oleh kedua-duanya itu.

Beberapa bulan lalu, blog ini pernah mendedahkan mengenai kemelut dalam Bernama TV yang menghadapi masalah tidak mampu membayar gaji serta elaun kakitangannya berikutan kedudukan kewangannya yang meruncing. Walaupun mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan tetapi disebabkan pendapatan iklan yang rendah, masalah kewangan ini nampaknya berulang kembali.

Shabey Cheek pula, dalam jawapan di Parlimen pernah berkata bahawa Bernama TV akan dijadikan saluran berita bahasa Inggeris secara berperingkat mulai hujung tahun ini agar saluran itu lebih diminati penonton dan mampu menarik sumber iklan yang lebih banyak.

Beliau juga memberi jaminan, dalam proses pertukaran itu, tiada pemecatan kakitangan akan dilakukan, sebaliknya mereka akan disesuaikan dengan perubahan tersebut.

Bagaimanapun, perubahan yang dicadangkan oleh Shabery itu mendapat kritikan yang meluas daripada masyarakat kerana sepatutnya bukan bahasa saluran televisyen itu dijadikan alasan, sebaliknya pembaharuan yang lebih mustahak ialah meliputi pengurusan, kandungan, iklan dan sebagainya.

Sehingga ini, walaupun sudah minggu pertama bulan Disember,  bukan saja tiada tanda-tanda pembaharuan yang sudah dijanjikan itu akan dilakukan, malah bila bayaran gaji dan elaun yang tertunggak kepada kakitangan dan penyampai juga masih tidak diketahui bagaimana pengakhirannya.

Jika tanda pembaharuan atau pemulihan itu benar-benar akan berlaku, sekurang-kurangnya gaji dan elaun kakitangan tidaklah dibiarkan berbulan-bulan tertunggak begitu saja. Dalam ertikata lain, Bernama TV kini seolah-olah "hidup segan, mati tak mahu" saja kedudukannya.

Lebih dari itu, nasib CEO Bernama TV, Ibrahim Yahya yang bakal tamat kontraknya pada pertengahan bulan ini, turut tidak diketahui sama ada akan disambung atau ditamatkan perkhidmatannya.

Kepada kakitangan Bernama TV, mereka melihat peranan Shabery Cheek seperti tidak serius dan sepenuh hati untuk menyelesai dan memulihkan stesen itu sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh menteri terdahulu, Dr Rais Yatim. Itulah antara sebabnya, kemelut dan permasalahan dalam Bernama TV ini terus berlaku dan berlaku, sama seperti programnya yang kerap diulang-ulang siarannya.

Jika ini berterusan, tidak mustahil Bernama TV yang membawa imej kerajaan ini akhirnya akan berkubur ditangan Shabery Cheek sendiri.

Tiada ulasan: