HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Disember 2014

Guna cara berdialog, bukan berhimpun - Penganalisis Politik

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Meskipun kerajaan menyediakan ruang kebebasan bersuara untuk rakyat, namun tidak sepatutnya mahasiswa menjadikan perhimpunan sebagai cara menyatakan ketidakpuasan hati, kata Penganalisis Politik Profesor Dr Martadha Mohamad. 
 
Katanya kerajaan khususnya tidak pernah mengenepikan hak untuk bersuara kepada rakyat tetapi ia perlu digunaka secara bijaksana dan baik. 
 
"Dalam konteks demokrasi yang ada pada hari ini di dalam negara kita, sebenarnya terdapat pelbagai mekanisme di mana mahasiswa boleh menyuarakan pandangan mereka terus tanpa perlu untuk mengadakan perhimpunan seperti mana yang dicadangkan mereka untuk diadakan pada malam ambang tahun baru nanti.
 
"Kita ada satu hubungan yang baik di antara kepimpinan mahasiswa di universiti dengan kerajaan melalui perhimpunan sebegini ataupun suara yang boleh disalurkan di dalam gerak kerja di antara kerajaan dengan pimpinan mahasiswa, maka mereka  boleh menyuarakan apa sahaja," katanya kepada Antarapos.
 
Terbaru Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) nekad untuk berhimpun semasa sambutan malam ambang tahun baru di Dataran Merdeka nanti. 
 
Pengerusi TURUN, Azan Safar memaklumkan perhimpunan akan disertai oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan parti Pakatan Rakyat. 
 
Tujuan perhimpunan itu bagi menuntut harga minyak RON 95 diturunkan ke tahap RM1.90 seliter berbanding RM2.26 sen sekarang.
 
Dalam pada itu jelas Martdha lagi, terdapat cara lain yang boleh digunakan dalam menyuarakan pendapat seperti program dialog yang sebelum ini banyak kali diadakan bagi dan dalam masa yang sama mendapat liputan media.
 
"Dalam masa yang sama kita lihat mahasiswa boleh terlibat dengan pelbagai bentuk forum atau perbincangan yang dianjurkan, oleh kerajaan atau NGO untuk menyuarakan hasrat mereka," tegasnya
 
Martadha yang merupakan Pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) mengecam perhimpunan itu kerana pada malam ambang tahun baru itu di lokasi yang sama juga akan diadakan program Malam Cinta Rasul.
 
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap gerakan yang dijalankan oleh mahasiswa ini didalangi oleh pihak yang berkepentingan yang sengaja untuk mencalarkan imej negara di mata dunia. 
 
Sehubungan itu kumpulan seperti ini perlu menilai kembali tujuan mereka mengadakan perhimpunan yang hanya akan menjejaskan pelbagai pihak. 
 
"Apa yang kita bimbangkan apakah gerakan seperti ini didalangi oleh mereka-mereka yang ingin melihat bahawa satu tindakan yang tidak diingini itu diambil dan boleh menyebabkan imej negara akan tercalar.
 
"Mahasiswa perlu melihat agenda mereka semula adakah betul-betul didasari oleh inginkan perubahan berlaku ataupun sekadar apa yang mereka inginkan lebih kepada mencipta publisiti," katanya lagi.
 
Untuk rekod, perhimpunan ini akan menjadi yang kedua selepas pertama kali diadakan pada malam sambutan ambang tahun baru tahun lalu.

Tiada ulasan: