KUALA LUMPUR - Kaum Melayu tidak boleh malas, sebaliknya harus berusaha
lebih gigih untuk menguasai ekonomi negara bagi menjamin mereka
memperoleh bahagian yang sepatutnya apabila Malaysia mencapai status
negara maju menjelang 2020, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan orang Melayu tidak boleh
bergantung kepada penguasaan politik semata-mata kerana ia mungkin tidak
mampu bertahan tanpa pegangan ekonomi yang kukuh.
Katanya, walaupun melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenal pada
1971 telah ditetapkan agihan ekonomi untuk orang Melayu sebanyak 30
peratus daripada kekayaan negara, namun selepas 20 tahun pelaksanaannya,
sasaran itu dilihat tidak berjaya dipenuhi.
"Jadi jika kita mahu bahagian kita, orang Melayu mesti tukar pendirian,
mesti usaha lebih gigih untuk dapatkan bahagian kita dalam negara maju.
"Saya khuatir bila kita capai matlamat negara maju pada 2020, orang
Melayu menjadi golongan miskin di dalam negara kaya," katanya ketika
menyampaikan ucaptama bertajuk 'Hala Tuju Melayu Islam Menuju Wawasan
2020' pada Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (Nusa'14) di sini
hari ini.
Dr Mahathir turut menjentik soal politik orang Melayu yang kini
terpecah kepada tiga parti utama iaitu Umno, Pas dan PKR, yang
menurutnya menjurus kepada undi Melayu menjadi minoriti dalam negara
yang majoritinya orang Melayu.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan setiap parti Melayu mempunyai
sokongan kurang daripada 50 peratus dan akhirnya terpaksa 'mengemis'
sokongan kaum lain untuk menang pilihan raya dan kekal berkuasa.
"Bila jadi pengemis, mereka (parti Melayu) bukan lagi merupakan orang
berkuasa (sepenuhnya), ini keadaan yang sedang kita hadapi sekarang,"
katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan pentingnya untuk kaum Melayu
kembali mengamalkan ajaran dan nilai-nilai Islam yang sebenar sebagai
landasan dan panduan hidup mereka.
"Maju atau mundurnya kita tidak bergantung kepada warna kulit, kekayaan
sumber atau tempat tinggal kita, tetapi budaya dan nilai hidup yang
dipegang," jelas Dr Mahathir.
"Nilai hidup yang baik termasuk jujur, amanah, bekerja keras perlu
dijadikan budaya hidup kita. Kalau setakat berdoa tapi tak berusaha,
ALLAH pun tidak akan tunaikan permintaan kita," kata Dr Mahathir.
Kepada satu pertanyaan daripada peserta, Dr Mahathir mengulangi
pandangannya berhubung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Sebaliknya wujudkan peluang kerja, latihan untuk rakyat supaya mereka
dapat tingkatkan kebolehan dan ilmu untuk mendapat pekerjaan yang lebih
baik dan gaji yang lebih tinggi, itu cara terbaik," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan