APABILA mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat yang mendakwa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak sebagai pembohong atau penipu; ia bukan sebuah berita. Kalau pemimpin Pakatan yang memuji Najib, biasanya laporan akan terpapar di muka hadapan akhbar-akhbar utama negara.Ia mempunyai nilai berita yang tinggi kerana bercanggah daripada kebiasaan.
Tiba-tiba bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mencipta satu berita dengan mendesak Najib berhenti daripada terus berbohong kepada rakyat tentang keadaan sebenar kedudukan negara.
“Berhenti menipu rakyat dan buat kerja kamu. Beritahu kepada pemimpin Melayu berlaku jujur dan buat apa yang boleh (membantu Melayu),” katanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa.
Rashid berkata beliau tidak marah jika orang Umno atau Najib memarahinya mengkritik secara terbuka kerana tiada apa yang perlu disembunyikan. “Sekarang saya lantang mengkritik tetapi tiada yang berani mengkritik saya kerana saya tidak mencuri duit rakyat. Tiada apa saya sembunyikan,” katanya. Abd Rashid bukan calang-calang orang. Beliau punya nama besar dalam negara meskipun sering dibabitkan dengan kontroversi sewaktu menguruskan SPR.
Walaupun mungkin tidak digemari parti pembangkang, Rashid dihormati selain daripada parti pembangkang serta golongan tidak berparti yang kelompoknya adalah lebih besar. Orang yang ternama sepertinya yang mendakwa Najib pembohong, tentulah asas dakwaan sangat kukuh.
Rashid mendakwa apa jua cadangan yang dibawa hari ini tidak akan ke mana-mana kerana pelaku rasuah tidak akan mendengar. Maknanya isu besar yang dikaitkan oleh bekas Pengerusi SPR itu adalah isu integriti atau ketirisan wang negara oleh ‘perasuah’ di zaman Najib.
Terdahulu, Naib Ketua Umno Batu Kawan, Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan mencuri perhatian ramai apabila menjadi pemimpin Umno pertama yang secara terbuka menggesa pengurusan kewangan 1MDB disiasat perjalanannya.
1MDB adalah projek hasil cetusan ilham Najib. Ada yang mendakwa ia bukan idea asli Najib tetapi Rosmah. Tiada beza sebenarnya Najib atau Rosmah.
Khairuddin muncul kali pertama dalam kancah politik tanah air apabila membuat laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim berdasarkan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Ditakdirkan Anwar jatuh dalam kedudukan hanya selangkah untuk menjadi perdana menteri.
Nujum politik mendakwa buku 50 Dalil diterbitkan atas restu Tun Dr Mahathir Mohamad dan laporan polis Khairuddin adalah dengan ‘arahan’ beliau juga.
Kini apabila kedua-dua watak yang sama muncul untuk mengacah kedudukan Najib sebagai perdana menteri, maka plot ceritanya menarik perhatian sebab sejarah biasanya berulang.
Khairuddin dilihat berani mencabar wibawa Najib kerana Mahathir telah memulakan terlebih dahulu.
Mahathir dalam blognya memilih jalan selamat untuk mengkritik 1MDB tajaan Najib dengan memetik laporan The Edge yang bertajuk “Tabiat 1MDB membayar lebih untuk memperolehi (hutang) duit.”
Biasanya dana seperti ini ditubuh oleh negara pengeluar minyak yang banyak yang tidak dapat habiskan pendapatan setelah mentadbir dan membangun negara.
Katanya, Malaysia bukanlah negara pengeluar minyak yang besar. Hampir semua 650,000 tong yang dikeluar tiap hari diguna dalam negara. Dan Malaysia pula mengalami defisit dalam belanjawannya. Tidak ada lebihan wang untuk dana kekayaan negara.
Oleh itu, kerajaan terpaksa hutang untuk dana kekayaan ini.
The Edge dalam rencananya menyebut bahawa kos pinjaman berbilion ringgit luar biasa tingginya. Pada 1 September 2009, 1MDB menggegarkan industri perbankan apabila bersetuju membayar faedah 5.75% ke atas hutang RM5 bilion. Hutang ini dijamin oleh Kerajaan Malaysia.
Biasanya bon kerajaan membayar hanya 4.0%. Petronas membayar 3.6% sahaja. Banyak lagi pendedahan yang dicatatkannya.
“Sebahagian wang yang dipinjam ini diguna untuk membeli stesen janakuasa swasta. Ini dilapor dalam akhbar. Tetapi harga belian jauh lebih tinggi dari harga pasaran. Kenapa demikian?” tanya Mahathir.
Katanya, kerajaan sepatutnya memberi maklumat yang jelas kepada rakyat, terutama Bumiputra akan bantuan yang boleh didapati dari 1MDB.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Dato’ A Kadir Jasin pula mendedahkan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mengalami kerugian RM665.3 juta disebabkan kos kewangan RM2.4 bilion berbanding RM1.6 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
1MDB adalah dana kekayaan negara Malaysia yang kedua selepas Khazanah Nasional Bhd. Pengkritik mempersoalkan hutang dana itu yang banyak, penggunaan wang dan operasi yang meragukan.
Nah, Najib sedang mengalami tekanan di keliling pinggang.
Mahathir pun sewaktu jadi perdana menteri terima tekanan yang lebih hebat daripada itu. Antaranya, beliau diserang oleh bekas-bekas anggota Kabinetnya sendiri.
Bezanya ketika itu sokongan rakyat untuk parti yang memerintah sangat kuat. Dalam sejarah pentadbiran Mahathir, beliau tidak pernah hilang penguasaan dua pertiga diParlimen.
Sekarang Najib lemah dalam keadaan kerajaan pimpinannya juga lemah. Usaha menjatuhkan Najib akan sampai ke kemuncaknya juga nanti. Jika gagal dijatuhkan, Najib akan jadi pemimpin kerajaan yang lebih lemah daripada kedudukan sekarang. Ketika lemah dahulu, beliau gagal dapat majoriti dua pertiga. Dalam situasi lebih lemah maka kemungkinan yang ada ialah gagal pertahan kerajaan.
Ditakdirkan Najib jatuh pula dalam kerajaan dan Umno (gara-gara ‘konspirasi’ Mahathir) maka beliau boleh berfikir untuk menjalin kerjasama politik dengan pembangkang bersama para kroninya, seperti yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada 1988 dahulu. Dalam politik tiada yang mustahil.
Mungkin Najib boleh beri kekuatan pada pembangkang.
Maka kekuatan BN sebagai kerajaan, walau siapa pun yang memimpin di kala itu, akan jadi lemah.
Mereka boleh kalah mudah dalam PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan