Rumpai miang Mexico kini dikesan di kaki Gunung Kinabalu.
KOTA KINABALU: Selepas
didapati tumbuh di beberapa negeri di Semenanjung, rumpai miang Mexico
atau nama saintifiknya 'Parthenium Hysterophorus' kini dikesan menawan
kaki Gunung Kinabalu.
Tumbuh dalam kawasan kecil, ia ditemui di Kampung Lasing Ranau, kata Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Idrus Shafie.
Beliau berkata, ia adalah penemuan pertama di negeri itu selepas berita mengenai tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara itu dikesan di Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Terengganu, awal bulan ini.
Pakar pertanian Sabah akan mengambil langkah untuk memusnahkan tumbuhan itu bagi mengelak ia merebak ke kawasan lain.
"Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa daerah untuk mewujudkan kesedaran di kalangan penduduk.
"Maklum balas Kementerian Kesihatan juga diminta untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai kesan rumpai miang itu kepada kesihatan," katanya.
Beliau juga berkata, pihaknya turut mengedarkan risalah kepada petani di sini bagi mendidik mereka mengenai bahayanya rumpai berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan