BERLAKU satu peristiwa di zaman Rasulullah s.a.w. yang boleh menjadi panduan kepada kita pada hari ini.Kaum Aus dan Khazraj yang pernah bertempur ratusan tahun dapat disatukan atas akidah Islam pimpinan Rasulullah s.a.w.
Ini telah menimbulkan kebencian dan iri hati dalam kalangan orang-orang Yahudi.
Mereka melihat kekuatan ukhwah ini boleh mengancam mereka. Maka sesuatu usaha memecahkan umat Islam perlu dibuat.
Syas Bin Qais seorang Yahudi yang sudah tua usiakan dan sangat memusuhi Rasulullah s.a.w.
Beliau berjalan di kawasan sahabat-sahabat yang telah menerima tarbiyah daripada Rasulullah s.a.w. Syas Bin Qias merasa sakit hati melihat perpaduan mereka.
Kaum Aus dan Khazraj yang satu masa bermusuh sudah hidup dengan harmoni, membantu antara satu sama lain dan berakhlak dengan akhlak yang sangat mulia.
Syas Bin Qais berkata “Para tokoh Aus dan Khazraj telah bersatu di negeri ini. Demi Allah, kami tidak akan membiarkan mereka bersatu di negeri ini.” Beliau mengarahkan seorang pemuda Yahudi dengan berkata “pergilah dan duduklah di majlis mereka kemudian ingatkanlah mereka akan Peristiwa Bu’ats dan peristiwa-peristiwa sebelumnya.
Bacalah kepada mereka syair-syair yang pernah dibaca pada peristiwa tersebut”. Peristiwa Bu’ats adalah pertempuran yang terjadi antara suku Aus dan Khazraj (pada masa Jahiliah) yang dimenangi oleh suku Aus.
Pemuda Yahudi itu pun melakukannya dengan penuh kemahirannya sehingga timbul pergaduhan antara mereka. Masingmasing membanggakan diri mereka.
Dua orang dari keduadua belah pihak, Aus bin Qaizhi dari suku Aus dan Jabar Bin Shakhar dari suku Khazraj melompat atas kenderaan sambil bertekak mempertahankan suku masing- masing.
Di antara mereka ada yang berkata “Jika kalian suka, Demi Allah, sekarang juga kami sanggup berperang seperti terdahulu”. Ada juga yang menyambut dengan berkata “Kita pernah melakukannya.Keluarkan senjata, kita kumpul di lapangan.”
Mereka pun berkumpulan di satu kawasan lapangan untuk bertempur.
Berita ini sampai kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda menuju di kawasan mereka ingin bertempur dan bersabda “Wahai kaum Muslimin! (takutlah kepada) Allah, (takutlah kepada )Allah !
Apakah seruan-seruan Jahiliah (muncul lagi), sedangkan aku masih berada di tengah-tengah kalian?
Apakah setelah Allah menunjuki kalian kepada Islam, memuliakan kalian, menghapuskan cara Jahiliah dari kehidupan kalian, menyelamatkan kalian dari kekufuran, dan menjinakkan hati kalian dari kekufuran, dan menjinakkan hati kalian, kalian kembali lagi kepada kekafiran?”
Akhirnya mereka insaf dengan perbuatan mereka dan kembali kepada Rasulullah s.a.w. Mereka menginsafi bahawa mereka telah terpedaya dengan tipudaya syaitan sehingga mahu membunuh saudara seakidah dengan mereka.
Dengan keinsafan ini maka tipu daya Syas Bin Qais dapat digagalkan.
Sirah ini sepatutnya memberi ibrah(pengajaran) kepada kita semua khususnya pemuda-pemuda PAS. Akibat daripada pendidikan penjajah yang memisahkan kita kepada dua sistem pendidikan Diniah (pendidikan Islam) dan pendidikan akademik.
Ibu bapa yang mahu anak mereka menjadi seorang alim ulama menghantar anak mereka ke sekolah agama. Mereka yang mahu anak mereka sorang jurutera dan peguam menghantar ke sekolah kebangsaan.
Itulah hasil pendidikan penjajah yang diwarisi oleh Barisan Nasional. Sekolah agama dianak tirikan. Sekolah agama tidak mempunyai dana yang mencukupi.
Sekolah Kebangsaan pula menerima bantuan penuh daripada kerajaan. Mereka mempunyai sistem yang lebih tersusun.
Tanpa disedari sebenarnya dua sistem yang berbeza ini telah membentuk dua aliran pemikiran dalam masyarakat. PAS menerima tempiasnya. Mereka dari aliran agama melahirkan kumpulan Ulama dan aliran sekolah kebangsaan melahirkan kumpulan profesional.
Kumpulan ulama’ dan profesional ini terpisah dalam sistem pendidikan sejak mereka kecil sehinggalah dipertemukan dalam wadah perjuangan Islam PAS.
PAS menyedari terdapat perbezaan ini maka Allahyarham Dato’ Fadzil Mohd Noor mengasaskan agenda mengUlamakan profesional dan memprofesionalkan Ulama’. Mekanismanya diwujudkan ILHAM dalam PAS.
Musuh-musuh PAS seperti Syas Bin Qais di zaman Rasulullah melihat ruang ini. Mereka sangat sakit hati dengan ukhwah yang terjalin dalam kumpulan Ulama dan Profesional dalam PAS.
Kedua-dua kumpulan berjuang dengan penuh keikhlasan dan berlumbalumba membuat kebaikkan.
Bertahun-tahun lamanya mereka lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Agen-agen Syas Bin Qias di luar PAS mencampak agenda perpecahan dalam PAS yang berteraskan kepada isu Agama, Raja dan Kaum menggantikan syairsyair yang dibawa di zaman Rasulullah.
Pejuang-pejuang dalam PAS adalah mereka yang ikhlas dalam perjuangan tetapi sebahagiannya sedikit alpa dengan jarum Syas Bin Qais.
Maka akhirnya ada yang mengambil pendekatan Aus bin Qaizhi dari suku Aus dan ada pula yang mengambil pendekatan Jabar Bin Shakhar dari suku Khazraj.
Musuh-musuh PAS mencucuk jarum daripada segenap sudut kerana mereka melihat jika dua kumpulan ini bersatu maka PAS akan menjadi kuat dan akan mengancam kedudukan mereka.
Terdapat beberapa media arus perdana mengambil peranan pemuda Yahudi zaman Rasulullah S.A.W menimbulkan kekeliruan dan kebencian. Maka merebaklah suasana panas ini.
Dalam Muktamar Pemuda PAS di Kota Tinggi yang lepas Pemuda PAS Malaysia mencadangkan mewujudkan Pengurusan Krisis dalam PAS.
Alhamdulillah PAS telah menerima pandangan pemuda ini dan diserahkan kepada Salahuddin Ayub untuk menguruskannya.
Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Ijtima Tarbawi di Pulau Pinang menegaskan bahawa terdapat dua kumpulan dalam PAS yang menjadi masalah pada hari ini.
Pertama kumpulan yang mengambil pendekatan yang terlalu ketat sehingga sukar bergerak dan keduanya pendekatan yang terlalu longgar sehingga hilang nilai perjuangan sebenar.
Tok Guru memahami masalah yang sedang dihadapi dan sedang berusaha menyelesaikannya.
Dalam Ijtimak Tarbawi anjuran Lujnah Tarbiyah Pemuda PAS Malaysia ini, Tok Guru mencadangkan pendekatan yang menarik iaitu “Walaupun terdapat perbezaan pendapat tetapi tetaplah berkasih sayang.” Saya ringkaskan pendekatan Tok Guru ini sebagai “Sebarkan kebaikan dan kasih sayang, uruskan perbezaan.”
Pemuda-pemuda PAS di semua peringkat dinasihatkan untuk membaca buku karangan Dr Yusof Al-Qaradhawi bertajuk Fiqh Ikhtilaf (Fiqh Perbezaan Pendapat).
Fikh Ikhtilaf ini telah menjadi salah satu ciri dalam Politik Budiman. Pemuda PAS boleh menjadikan buku ini sebagai bahan rujukan dalam usrah masing-masing.
>> Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan