shahbudindotcom
Jika
sebelum ini beliau mengatakan BR1M suatu bentuk rasuah kepada rakyat,
tetapi kali ini pemberian wang tunai secara "one-off" itu dianggapnya
sebagai langkah yang silap untuk mengurangkan beban peningkatan kos sara
hidup mereka.
Menurut
Mahathir lagi, beliau pernah menasihatkan Najib agar tidak meneruskan
pemberian tunai itu, sebaliknya meningkatkan program latihan dan
kemahiran sebagai jaminan untuk rakyat menambahkan pendapatan.
Malangnya,
tegas Mahathir, oleh kerana Najib menganggap "duit sebagai raja" dan
boleh menambahkan sokongan, nasihatnya itu tidak dipedulikan.
Sejak
menarik balik sokongan terhadap Najib, satu demi satu serangan
dilakukannya. BRIM, kepimpinan yang lemah, hutang 1MDB, tidak tegas
dalam mengawal hubungan kaum, memansuhkan banyak akta, gagal mengurus
ekonomi dan kewangan negara adalah antara sasaran serangannya.
Ketika
ini hampir tidak ada yang betul lagi yang dilakukan oleh Najib di mata
Mahathir yang sepanjang kepimpinannya selama 22 tahun sentiasa tampil
dengan idea-idea segar untuk kepentingan negara.
Ramai
pula yang merasakan Najib hampir pasti bakal menerima nasib yang sama
seperti Pak Lah yang akhirnya dijatuhkan kerana terlalu lemah dan lebih
banyak membawa kerosakan kepada negara.
Dengan
terus menyerang dan mempertikaikan satu demi demi kesilapan Najib,
kepercayaan umum ketika ini ialah Mahathir tidak akan berhenti selagi
Najib tidak berjaya ditukar dan dijatuhkan.
Di
pelbagai peringkat pula, berdasarkan banyak isu dan masalah gagal
ditangani dengan baik, semakin ramai yang percaya Najib lebih mungkin
membawa UMNO dan BN ke detik kekalahannya dalam PRU 14 nanti berbanding
mencipta kemenangan.
Analisa
yang mudah dan diperkatakan ramai ialah sejak PRU 13 pada 5 Mei 2013
sehingga kini, sokongan rakyat bukannya bertambah baik, malah hari demi
hari bertambah buruk dan ia bukti jelas semakin lama kepimpinan Najib
semakin tidak lagi dikehendaki.
Kemarahan
dan penolakan terhadap UMNO dan BN bukan lagi di kalangan rakyat saja,
malah sudah merebak ke dalam kelompok UMNO sendiri.
Keberanian
Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan membuat
laporan polis terhadap 1MDB dan disusuli tindakan Syed Rosli Jamalulail,
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Taman Cempaka, Pandan mendesak Najib
meletakkan jawatan adalah manifestasi kemarahan dan penolakan yang
sebenarnya semakin membengkak ketika ini.
Ketika
di saluti dengan pelbagai isu dan kecaman daripada pelbagai pihak,
termasuk daripada Mahathir sendiri, seperti biasa Najib lebih selesa
memilih untuk senyap, bisu dan mendiamkan diri saja. Sudahlah begitu,
berubah dan memperbaiki kesilapan sebagaimana teguran dan kehendak
ramai, tidak juga ditunjukkannya.
Lantaran
itu, tindakan yang lebih berterus-terang seperti mendesak Najib meletak
jawatan adalah langkah yang paling sesuai ketika ini. UMNO dan BN sudah
tidak boleh dipulihkan dan mustahil mampu meningkatkan sokongan selagi
Najib menjadi ketuanya.
Sudah
sampai masanya juga Mahathir berhenti menyerang dan mempertikaikan satu
demi satu dasar Najib yang merugikan rakyat dan negara. Langkah yang
sesuai diambil Mahathir ketika ini ialah meminta agar Najib segera
berundur dan memberi peluang kepada orang lain mengambil alihnya.
Mahathir
juga perlu berterus-terang siapa yang patut mengambil alih tempat
Najib. Jika Muhyiddin pilihannya, beliau perlu menyebutnya secara
terbuka kerana masa semakin suntuk menjelang PRU 14 nanti. Sebut saja
terus-terang dan tak perlu berselindung-selindung lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan